WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUTIN DIJANGKA ADAKAN PERBUALAN TELEFON DENGAN TRUMP

19/05/2025 06:22 PM

MOSCOW, 19 Mei (Bernama-TASS) -- Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin (19 Mei), menjadikannya perbualan ketiga antara kedua-dua pemimpin itu sejak awal tahun ini, lapor Agensi Berita Rusia, TASS.

Perkara itu diumumkan menerusi platform Truth Social milik Trump, menyatakan beliau merancang untuk menghubungi Putin pada 10.00 pagi waktu Timur AS (10.00 malam waktu Malaysia, 5.00 petang waktu Moscow atau 2.00 petang GMT).

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov mengesahkan kepada TASS bahawa persiapan bagi perbualan itu sedang dijalankan.

Menurut Trump, antara topik yang akan dibincangkan ialah penyelesaian konflik di Ukraine dan isu perdagangan.

Selepas perbualan bersama Putin, Trump dijangka mengadakan perbincangan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, serta beberapa pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, Canselor Jerman Friedrich Merz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer dijadual berhubung dengan Trump terlebih dahulu sebelum perbualan dengan Presiden Rusia itu berlangsung.

Interaksi terakhir antara Putin dan Trump berlangsung pada 18 Mac lalu, yang memfokuskan kepada penyelesaian konflik di Ukraine dan Timur Tengah serta hubungan dua hala.

Ketika itu, Putin menyatakan sokongan bersyarat terhadap cadangan Trump bagi mengadakan genjatan senjata di Ukraine.

Beliau turut mengarahkan agar serangan ke atas infrastruktur tenaga dihentikan dan pasukan tentera Rusia menghentikan serangan artileri. Namun, tiada tindak balas balas seumpamanya daripada pihak Kyiv.

Terdahulu pada 12 Feb, kedua-dua pemimpin turut mengadakan perbualan telefon membincangkan isu Ukraine dan ketegangan dalam hubungan dua hala.

Presiden Rusia dan AS itu turut bersetuju untuk mengekalkan komunikasi dan merancang pertemuan secara bersemuka.

Trump secara konsisten menyuarakan hasrat untuk menganjurkan sidang kemuncak itu secepat mungkin.

-- BERNAMA-TASS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan