WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR LONJAK MALAYSIA, ASEAN SEBAGAI SUARA UTAMA SELATAN GLOBAL

20/05/2025 09:10 AM

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyuarakan pendirian Malaysia -- dan perkumpulan serantau itu -- sebagai suara utama dalam Selatan Global di samping satu kuasa yang kian menyerlah dan perlu diberi perhatian, menuntut peralihan global daripada dominasi bipolariti kepada perkongsian kuasa yang saksama melalui multipolariti.

Sepanjang lawatan meliputi dari Amerika Selatan hingga Asia Tenggara, dan yang terbaru ke Rusia, mesej jelas Perdana Menteri adalah demi kerjasama Selatan-Selatan yang lebih kukuh untuk menyatukan pengaruh ekonomi dan politik, membolehkan semua negara ini menentukan hala tuju sendiri dan tidak lagi ditentukan oleh Utara atau negara-negara maju.

Gesaan Anwar agar Selatan Global menjadi lebih kukuh adalah tepat pada masanya, memandangkan kalangan ekonomi sedang pesat membangun berkembang dari segi kedudukan dan pengaruh, mencari suara yang lebih besar dalam membentuk agenda ekonomi dan politik global.

Memandangkan Selatan Global membentuk 85 peratus daripada populasi dunia dan menyumbang lebih 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global -- bahagian yang terus berkembang -- gesaan Selatan Global terhadap kesaksamaan adalah amat wajar.

Sebagai sebahagian daripada strategi itu, Malaysia kini adalah antara sembilan negara rakan BRICS, kumpulan ekonomi yang sedang pesat membangun tidak rasmi.

Keanggotaan BRICS berkembang pantas daripada lima negara anggota asal -- Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menjadi anggota rasmi pada in 2024, memberikan pengaruhi yang lebih besar kepada kumpulan itu dalam melaksanakan inisiatif ekonomi.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kuasa penggerak lain selain dorongan Selatan Global oleh Malaysia adalah prinsip masa depan bersama -- satu konsep yang telah diterima baik oleh kalangan rakan pemimpin.

Bercakap kepada media Malaysia semasa lawatan beliau ke Rusia dan bertemu Presiden Vladimir Putin baru-baru ini, Perdana Menteri berkata Malaysia kini -- dan akan terus -- menumpukan kepada usaha memperluas kerjasama serantau dan globalnya susulan peningkatan penjajaran semula geopolitik.

Sejajar kedudukannya sebagai sebuah ekonomi perdagangan terbuka, adalah penting bagi Malaysia untuk terus mencari peluang demi melindungi kepentingan ekonominya.

Gesaan Perdana Menteri di Moscow agar Selatan Global mempunyai suara lebih berpengaruh juga hanya menegaskan hasrat sama yang dilontarkan ketika lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April lepas.

Di samping itu, Anwar mengukuhkan lagi sokongan Selatan Global membabitkan gesaan pembaharuan dalam sistem kewangan antarabangsa, khususnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Perdana Menteri menegaskan bahawa IMF dan WTO perlu merombak struktur kewangan antarabangsa bagi menyokong perdagangan bebas tanpa sebarang bentuk diskriminasi terhadap negara-negara kecil.

“Kebangkitan dasar perlindungan sudah bermula, malah dalam kalangan negara-negara Kumpulan 20 (G20) yang pada asalnya merupakan penyokong prinsip-prinsip perdagangan bebas.

“Inilah sebabnya kita mencadangkan supaya IMF melaksanakan pembaharuan struktur kewangan dan agar WTO menyokong perdagangan bebas tanpa diskriminasi ke atas negara-negara lebih kecil,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar berkata Putrajaya kekal komited terhadap usaha memupuk perkongsian pertumbuhan, mengukuhkan kerjasama serantau dan terus terbuka kepada perdagangan dan pembangunan.

“Kita akan terus menggalakkan pendekatan terangkum dan mampan ke atas keamanan dan keselamatan, baik di peringkat rantau dan melangkauinya,” kata Anwar.

Sejajar peranan sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia akan berusaha menggiatkan semula platform seperti ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan) dan Sidang Kemuncak Asia Timur iaitu satu-satunya forum serantau bagi dialog strategik dan keselamatan yang menghimpunkan kuasa bersaing dalam persekitaran berkecuali dan membina, kata Anwar dalam rencana diterbitkan oleh Project Syndicate, sebuah organisasi pelbagai akhbar yang bukan bermotifkan keuntungan.

Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan datang yang merangkumi 10 negara Asia Tenggara dan enam negara Timur Tengah yang kaya sumber minyak, dijangka meningkatkan lagi kerjasama dalam kalangan Selatan Global.

Perhimpunan itu juga mengetengahkan peluang besar untuk menarik penglibatan rakan dagang utama ASEAN selain menegaskan lagi komitmen perkumpulan itu kepada kerjasama pelbagai hala yang berpaksikan undang-undang, khususnya ketika ASEAN, BRICS dan Selatan Global secara amnya berkongsi pendirian sama dalam menolak tindak-tanduk unilateral atau sepihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan