SEPANG, 21 Mei (Bernama) -- Empat pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang disiasat atas dakwaan bersubahat membantu warga asing melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa prosedur sah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pegawai berkenaan disyaki terlibat dalam aktiviti counter setting, iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur sah dan teratur.
“AKPS memandang serius perkara ini dan tidak berkompromi dengan pegawai atau individu terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan dalam tempoh sama, pihaknya menahan 25 warga Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia di KLIA kerana disyaki cuba keluar dari Malaysia.
“Mereka ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki diperoleh tanpa prosedur sah.
“Penahanan tersebut hasil daripada pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan oleh AKPS KLIA sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.
AKPS akan terus mempergiat usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial