SUKAN > BERITA

STADIUM JUARA VENUE RASMI PUSINGAN PLAYOFFS MPL MALAYSIA MUSIM KE-15

21/05/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Stadium Juara Bukit Kiara di sini kembali menjadi gelanggang pusingan playoffs bagi Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) (MPL) Malaysia musim ke-15 selepas kali terakhir menganjurkannya pada musim ke-11.

Ketua E-Sukan Malaysia Moontoon Games Fikri Rizal Mahruddin berkata pemilihan venue itu dibuat susulan lokasi yang strategik dan mampu menampung bilangan penyokong yang ramai.

“Tempat ini (Stadium Juara) memang 100 peratus bersedia untuk menampung 1,500 orang. Malah pada musim ke-11 kita berjaya merekodkan kehadiran 35,000 penonton yang masuk keluar sepanjang empat hari pusingan playoffs berlangsung.

“Fasiliti yang disediakan di venue berkenaan juga baik, kita ada kemudahan awam seperti surau dan tandas yang cukup. Walaupun ruang parkir di sini terhad tetapi tempat ini boleh akses dengan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada pelancaran telefon pintar Infinix GT30 Pro yang merupakan telefon rasmi saingan MPL Malaysia musim depan.

Mengenai saingan MPL Malaysia musim ini, Fikri memuji persembahan pasukan bertanding yang menampilkan peningkatan prestasi pada musim ini dengan tiga pasukan telah berjaya mengesahkan slot ke playoffs dan tiga lagi pasukan hanya akan diketahui pada minggu ini.

“Selalunya pada minggu keenam kita sudah tahu enam pasukan yang layak ke playoffs tetapi musim ini kita kena tunggu hingga saat akhir untuk tahu siapa yang mara.

“Ini menunjukkan MPL Malaysia kita semakin kompetitif dari tahun ke tahun,” katanya.

Untuk rekod tiga pasukan yang sudah melayakkan diri ke pusingan playoffs musim ini adalah Selangor Red Giants OG Esport (SRG), Homebois dan Monster Vicious (MV).

Pusingan playoffs MPL Malaysia akan berlangsung dua fasa, dengan fasa satu bermula pada 31 Mei-1 Jun manakala fasa dua pada 14 Jun-15 Jun.

Dua pasukan yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir pusingan playoffs MPL Malaysia bakal mendapat tiket automatik mewakili negara di Piala Pertengahan Musim (MSC) di Piala Dunia E-Sukan yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan