WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK TEROWONG DASAR LAUT PULAU PINANG MASIH RELEVAN - EXCO

21/05/2025 04:04 PM

GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang masih relevan dan memberi impak positif kepada rakyat serta pembangunan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Beliau berkata projek berkenaan juga akan mengurangkan kesesakan di laluan akses ke Jambatan Pertama Pulau Pinang khususnya semasa aliran trafik tinggi bagi kedua-dua arah di jambatan dan sekitarnya dapat dihuraikan ke jajaran projek itu.

“Reka bentuk baharu Projek Terowong Dasar Laut merupakan satu alternatif dan signifikan kepada kesinambungan dan hala tuju Projek Laluan Ketiga Pulau Pinang demi kelangsungan pelaksanaannya.

“Reka bentuk baharu ini merupakan satu cadangan yang mempertimbangkan aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan dan impak kepada sosial dan alam sekitar,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Zairil menjawab pertanyaan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai kewajaran Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn Bhd masih diberi masa untuk menghasilkan reka bentuk baharu dan membuat kajian kebolehlaksanaan projek itu.

Beliau berkata kerajaan negeri masih optimis terhadap pelaksanaan projek berkenaan namun keputusan untuk meneruskannya bergantung kepada hasil kajian kebolehlaksanaan berdasarkan perjanjian induk bersama kontraktor.

Pada 26 Feb lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu masih di peringkat penelitian dan kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara antaranya pembesaran pelabuhan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang melibatkan jajaran projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan