GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape, sekiranya penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak membawa kesan positif.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata mekanisme bagi mengawal selia bekalan rokok elektronik, telah diperkenalkan melalui Akta 852 dan akan berkuat kuasa secara penuh pada 1 Okt.
Beliau berkata mekanisme penguatkuasaan dan strategi mengurangkan penggunaan rokok elektronik di Pulau Pinang perlu dikendalikan secara strategik dan menyeluruh, supaya tidak menimbulkan isu susulan seperti pasaran haram dan penyeludupan.
“Sekiranya kita melaksanakan larangan penjualan secara menyeluruh, kita akan berdepan beberapa cabaran antaranya pengguna akan mendapatkan bekalan di sempadan negeri apabila sampai di Kulim, Kedah atau Parit Buntar, Perak dan ini akan menyusahkan dari segi penguatkuasaan.
“Kedua, (apabila) kita melarang penjualan vape, tidak semestinya mereka berhenti menghisapnya secara terus (dan) kita akan menolak pengguna ini ke pasaran haram, yang mungkin menggalakkan isu penyeludupan. Ini antara aspek dipertimbangkan apabila kita mencadangkan larangan ini,” katanya.
Gooi berkata demikian ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Gooi berkata pendirian kerajaan negeri dalam isu tersebut adalah tegas dan menyokong larangan penggunaan rokok elektronik khususnya dalam kalangan orang belum dewasa (OBD), serta tidak menggalakkan penjualan bahan merokok selaras dengan usaha melindungi kesihatan awam.
Selain itu, beliau memaklumkan rekod Sistem Sahsiah Diri Murid Jabatan Pendidikan Pulau Pinang menunjukkan, 12 murid terlibat salah laku berkaitan rokok elektronik bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini. Pada 2024, rekod mencatatkan 981 murid terlibat salah laku itu.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang meminta kerajaan negeri melarang penjualan rokok elektronik di semua premis perniagaan di negeri itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga dilaporkan berkata kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualannya di negeri masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial