WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TNB SALUR SEMULA HAMPIR RM3 BILION KEPADA RAKYAT MALAYSIA MELALUI PERTUMBUHAN YANG PRIHATIN

22/05/2025 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 51 sen sesaham, tertinggi dalam tempoh empat tahun, berjumlah RM2.96 bilion sambil mengulangi komitmen untuk meningkatkan nilai jangka panjang syarikat melalui pengurusan modal yang berdisiplin, operasi yang mantap dan pelaburan berfokus komuniti yang memberi manfaat kepada para pemegang saham serta rakyat.

Menurut kenyataan TNB, komitmennya terhadap pembangunan negara melangkaui pulangan kewangan semata-mata dan menerusi program berfokus dalam pendidikan, pembangunan komuniti serta kesejahteraan, syarikat itu menyalurkan pelaburan jangka panjang ke arah hasil yang bermakna.

Kenyataan itu memaklumkan inisiatif TNB bertujuan memperkasa komuniti yang kurang mendapat perhatian, merapatkan jurang peluang serta memupuk perpaduan sosial dan melalui biasiswa, program pendidikan serta jangkauan luar bandar, ia memperkasa generasi masa depan selain memberi impak jangka panjang.

"Usaha ini mencerminkan komitmen TNB terhadap kemakmuran bersama serta pembangunan negara melangkaui peranannya sebagai syarikat utiliti dan sebagai sebahagian inisiatif luar bandar, ia melaksanakan fasa ke-11 Program Lampu Jalan Kampung pada 2024 dengan memasang lebih 14,000 lampu LED yang menjimatkan tenaga di kawasan yang kurang mendapat perhatian bagi meningkatkan keselamatan, keterhubungan dan keterangkuman ekonomi," katanya.

Menurut TNB, pembayaran dividen ini sejajar dengan dasar syarikat yang menetapkan kadar 60 peratus yang memberikan manfaat kewangan langsung kepada jutaan rakyat Malaysia memandangkan lebih 60 peratus saham TNB dimiliki secara kolektif oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) utama seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH)

Pada 2024, TNB turut menyumbang sebanyak RM874.7 juta dalam bentuk cukai dan zakat sekali gus memperkukuh kewangan awam dan menyokong kesejahteraan komuniti di seluruh negara selain memperuntukkan RM140.9 juta dalam bentuk sumbangan dan tajaan merangkumi bidang pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar.

TNB memaklumkan prestasi kukuh syarikat itu turut disokong oleh gabungan faktor makroekonomi yang positif termasuk pengukuhan ringgit dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 5.1 peratus digandingkan dengan pengurusan kos berhemah dan kecekapan operasi yang turut mencerminkan rekod konsistennya dalam mengekalkan pembayaran dividen pada tahap tertinggi dalam julat 30-60 peratus sejak lapan tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia mencatatkan kadar tertinggi dalam sejarah untuk pelaburan yang diluluskan iaitu RM378.5 bilion pada 2024 yang turut menyumbang kepada peningkatan permintaan elektrik industri dan komersial.

Menurut TNB, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan operasinya malah sejajar dengan aspirasi negara yang menyediakan infrastruktur yang boleh dipercayai, memacu pertumbuhan yang inklusif dan mempercepatkan peralihan tenaga di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Pada 2024, TNB telah melabur sebanyak RM11.2 bilion dalam perbelanjaan modal bagi mempercepatkan pemodenan grid dan menyokong peralihan tenaga negara merangkumi penaiktarafan yang menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya tahan rangkaian di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa TNB telah mengekalkan Skor Indeks Kepuasan Pelanggan yang tinggi iaitu 87 peratus sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan manakala penarafan ESG TNB oleh MSCI telah dinaik taraf kepada 'A' yang mengukuhkan kepimpinannya dalam kelestarian.

Penarafan ini mencerminkan kemajuan signikan dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan air dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Leo Moggie di sini hari ini, Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata pembayaran dividen ini mencerminkan komitmen syarikat itu untuk memberikan pulangan yang konsisten dan mampan kepda para pemegang sahamnya.

“Pulangan ini pada akhirnya sampai kepada jutaan rakyat Malaysia, memperkukuh simpanan negara, keselamatan persaraan dan kesejahteraan kewangan secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan mengesahkan fokus syarikat tersebut untuk mengekalkan pulangan kukuh sambil melabur dalam sistem dan komuniti yang menyokong pembangunan negara.

“Strategi kami jelas, kami berhasrat untuk mengekalkan prestasi kukuh sambil menjana nilai jangka panjang untuk rakyat melalui pulangan yang bertanggungjawab dan impak bermakna. Dengan memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan, pengurusan kos yang cekap dan dengan berteraskan kepada pembangunan negara, kami terus menyampaikan nilai yang stabil walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan