WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OP SLD, OP KHAS TALI PINGGANG KELEDAR, JPJ MELAKA KELUAR 481 NOTIS

09/10/2025 07:40 PM

MELAKA, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan sebanyak 481 notis sepanjang pelaksanaan Operasi Speed Limit Device (SLD) Kenderaan Perdagangan dan Operasi Khas Tali Pinggang Keledar bagi bas ekspres serta bas persiaran.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata bagi Op SLD yang dilaksanakan sejak 1 Okt hingga hari ini, sebanyak 448 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, hanya 57 kenderaan mengemukakan Slip Pengesahan Kefungsian SLD.

“Sebanyak 207 kenderaan dikenakan tindakan dan 207 notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan.

"Operasi dijalankan ini bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan selain mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita di Melaka Sentral di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Zarina berkata bagi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dilaksanakan sejak 1 Julai lepas, sebanyak 639 kenderaan diperiksa dengan 193 kenderaan dikenakan tindakan.

“Sepanjang tempoh operasi, JPJ Melaka mengeluarkan sebanyak 247 notis JPJ P22 terhadap penumpang di bawah Kaedah 4(a) Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978.

"Selain itu, 27 notis JPJ P22 turut dikeluarkan terhadap pemandu bagi kesalahan sama di bawah Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ Melaka menasihatkan semua pengusaha syarikat dan pemilik kenderaan perdagangan supaya memastikan peranti SLD dipasang dan berfungsi sepenuhnya.

"Selain itu, pengusaha bas perlu memastikan semua penumpang menggunakan tali pinggang keledar semasa perjalanan, ini bukan sahaja mematuhi kehendak undang-undang, malah mampu mengurangkan risiko kecederaan dan kematian dalam kemalangan jalan raya.

"JPJ Melaka akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa pada tahap tinggi di samping mengekang sebarang bentuk pelanggaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan