WILAYAH - SARAWAK > BERITA

VIETNAM ANJUR MESYUARAT SUKAN ASEAN OKTOBER INI

10/10/2025 08:15 AM

 

HANOI, 9 Okt (Bernama-VNA) -- Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-16 mengenai Sukan (SOMS 16), Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN ke-8 (AMMS 8) serta mesyuarat berkaitan akan diadakan di Hanoi dari 13 hingga 17 Oktober, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Timbalan Pengarah Pentadbiran Sukan Vietnam Le Thi Hoang Yen mengumumkan pada Khamis yang persiapan bagi penganjuran mesyuarat itu dilaksanakan di bawah penyelarasan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, merangkumi aspek logistik dan keselamatan.

Dengan tema “Mengemudi Sukan - Menyumbang kepada Pembangunan Mampan”, AMMS 8 akan memberi tumpuan kepada keutamaan utama yang mencerminkan landskap sukan ASEAN yang semakin berkembang serta peranannya dalam mencapai matlamat pembangunan mampan.

Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk pembangunan sukan profesional untuk meningkatkan daya saing serantau, pemerkasaan kesaksamaan gender serta penyertaan belia dan golongan kurang upaya, pemuliharaan sukan tradisional yang mencerminkan identiti budaya ASEAN dan penubuhan Pusat Sukan Berprestasi Tinggi ASEAN.

Delegasi turut akan membincangkan manfaat sukan untuk meningkatkan kesihatan awam, menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDGs), meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi seperti Jepun, China dan Republik Korea (RoK), dan mengukuhkan kepimpinan Vietnam dalam rangka kerja sukan ASEAN.

Mesyuarat itu dijangka memperkukuh imej Vietnam dan memperdalam hubungan persahabatan serta persefahaman antara negara anggota ASEAN.

Kira-kira 200 delegasi dijangka hadir, termasuk menteri, timbalan menteri dan ketua agensi sukan dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, serta wakil dari Jepun dan China.

Mesyuarat berkenaan dijangka mengeluarkan kenyataan bersama, menilai pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan 2021–2025 dan menggariskan rangka kerja untuk kerjasama sukan ASEAN selepas 2025.

Antara tumpuan AMMS 8 ialah penyelarasan Vietnam dengan Sekretariat ASEAN untuk memperhalusi dokumen bersama dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan utama seperti RoK, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) serta Pertubuhan Anti-Doping Serantau Asia Tenggara (SEARADO).

-- BERNAMA-VNA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan