WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAMAS TERIMA JAMINAN PERANG GAZA "TAMAT SEPENUHNYA"

10/10/2025 10:24 AM

ISTANBUL, 10 Okt (Bernama-Anadolu) -- Hamas pada Khamis berkata ia telah menerima jaminan daripada negara pengantara dan Amerika Syarikat (AS) bahawa perang Israel di Semenanjung Gaza telah "tamat sepenuhnya," lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu ucapan yang dirakam lebih awal, pemimpin Hamas Khalil al-Hayya mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Israel dan menggariskan langkah-langkah segera, termasuk pengunduran tentera Israel, pembukaan semula lintasan sempadan Rafah dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata perjanjian itu juga merangkumi pembebasan tahanan secara besar-besaran, dengan 250 rakyat Palestin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel dan 1,700 yang lain ditahan selepas 7 Okt 2023 akan dibebaskan, selain semua tahanan kanak-kanak dan wanita.

“Kami telah menerima jaminan daripada negara pengantara dan pentadbiran AS, semuanya mengesahkan bahawa perang ini telah tamat sepenuhnya,” kata al-Hayya.

Beliau berkata Hamas akan terus berkoordinasi dengan puak-puak kebangsaan dan Islam untuk melaksanakan baki langkah-langkah yang dipersetujui, melindungi kepentingan rakyat Palestin, dan meneruskan usaha penentuan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

Pada 29 Sept, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelan gencatan senjata 20 perkara untuk Gaza yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh Semenanjung Gaza.

Perjanjian antara Hamas dan Israel pertama kali diumumkan oleh Trump pada awal Khamis, dan kemudiannya turut disahkan oleh Tel Aviv.

Fasa kedua pelan itu menggesa penubuhan sebuah mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin dan tentera dari negara-negara Arab dan Islam, serta pelucutan senjata Hamas.

Ia juga menetapkan pembiayaan oleh negara Arab dan Islam untuk pentadbiran baharu itu dan pembinaan semula wilayah berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan