KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 membuktikan komitmen padu Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam kenyataan berkata Belanjawan 2026 merupakan kesinambungan penting apabila hampir RM1 billion diperuntukkan kepada APMM dengan empat inisiatif bagi memperkukuh keupayaan armada dan infrastruktur utama agensi itu.
Beliau berkata belanjawan itu juga memperlihatkan komitmen kerajaan MADANI terhadap pengukuhan keupayaan APMM menerusi beberapa inisiatif penting seperti perolehan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft, pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali serta pembinaan Kompleks Zon Maritim Kudat di Sabah.
“Inisiatif pembaharuan Kompleks Bersepadu Zon Maritim Labuan dan Pasukan Polis Marin Labuan turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan serta moral setiap anggota agensi di bawah KDN terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan semangat dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas.
“Kesinambungan sokongan daripada Belanjawan 2025 ke Belanjawan 2026 jelas menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan perairan negara, APMM yakin dapat memperkukuh lagi kesiapsiagaan dalam mengekang aktiviti pencerobohan, penyeludupan, penangkapan ikan secara haram serta pelbagai lagi ancaman jenayah maritim yang lain,” katanya.
Mohd Rosli turut menegaskan bahawa warga APMM akan terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, seiring iltizam kerajaan untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan maritim negara sentiasa terjamin.
“APMM berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam merealisasikan agenda Belanjawan MADANI yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keselamatan negara serta pembangunan yang berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial