KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Polis telah mengambil keterangan ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang maut dipercayai akibat didera di Kampung Rampangi, Santubong, dekat sini, Selasa lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun belum ditahan kerana siasatan masih dijalankan.
“Setakat ini, kita hanya mengambil keterangan ibu mangsa untuk membantu siasatan, belum ada keperluan untuk menahannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut menyiasat hubungan antara wanita itu dan suspek lelaki berusia 32 tahun yang kini direman bagi membantu siasatan.
“Kita percaya mereka ada hubungan (saling mengenali), namun hubungan sebenar masih dalam siasatan... mungkin sekadar kawan, mungkin kekasih. Kita akan maklumkan tetapi (yang pasti) mereka bukan pasangan suami isteri,” katanya.
Mohamad Zainal berkata lelaki terbabit ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif terhadap dadah.
Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa telah dijalankan hari ini dan pihaknya memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara menyeluruh.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu memaklumkan seorang lelaki berumur 32 tahun ditahan di Kampung Krian, Jalan Padawan bagi membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial