WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KEMUNCAK ASEAN: LENCONGAN TRAFIK SEMENTARA BERMULA 23 OKT INI

10/10/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Lencongan trafik sementara dan berperingkat akan dilaksanakan bermula 23 Okt ini di beberapa kawasan utama di ibu negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 hingga 28 Okt ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata aktiviti raptai pergerakan rombongan kenderaan orang kenamaan akan dijalankan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel sekitar ibu negara dan KLCC pada 23 hingga 24 Okt.

“Lencongan trafik sementara akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama yang menghubungkan KLIA ke ibu negara dan kawasan sekitar KLCC,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bahawa penugasan penuh anggota JSPT bermula pada 25 hingga 28 Okt, dengan pelaksanaan lencongan jalan berperingkat dalam radius satu kilometer dari KLCC.

Menurut Mohd Yusri, langkah ini penting untuk memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta keselamatan semua pihak sepanjang acara berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai laluan terlibat, pelan lencongan tertentu dan jadual penuh akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai memberi kerjasama dan menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan sidang kemuncak ini, sekali gus meningkatkan martabat negara di persada antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan