WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2026: MALAYSIA DI LANDASAN POSITIF MENUJU STATUS NEGARA AI - PAKAR

11/10/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia berada di landasan positif menuju status negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 dengan sasaran itu mampu dicapai menerusi Belanjawan 2026.

Pengarah Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Muhammad Akmal Remli berkata walaupun hala tuju semasa melibatkan pelaburan, penyelidikan dan pembangunan bakat dilihat positif, kejayaan sebenar tidak hanya bergantung kepada peruntukan atau strategi sebaliknya kepada keberkesanan pelaksanaannya.

“Dalam bidang teknologi yang cepat berubah dan penuh ketidakpastian, tadbir urus yang baik amat penting. Jika pelaksanaan dilakukan secara berkesan, saya percaya sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030 mampu dicapai,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM5.9 bilion bagi memperkukuh bidang AI merangkumi penyelidikan, pembangunan dan inovasi rentas kementerian.

Sementara itu, Muhammad Akmal berkata terdapat keperluan untuk menangani jurang akses terhadap teknologi AI yang berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan manfaat antara syarikat besar dan perusahaan kecil.

“Syarikat besar mungkin cepat menikmati hasil penggunaan AI, manakala perusahaan kecil atau mereka yang kurang pendedahan akan ketinggalan. Jurang ini perlu ditangani segera agar manfaat pembangunan AI dapat dinikmati secara inklusif,” katanya.

Mengulas pengumuman potongan cukai tambahan 50 peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjalani latihan berkaitan AI dan keselamatan siber, beliau menyifatkan langkah itu baik untuk menggalakkan penerimagunaan teknologi itu.

"Ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos latihan, tetapi juga memberi isyarat jelas bahawa kerajaan serius mahu PMKS terlibat dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata pihak berkaitan juga perlu mempergiat usaha kesedaran dan bimbingan supaya PMKS memahami bagaimana AI boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi mereka dan langkah ini boleh menjadi titik mula kepada transformasi digital yang lebih meluas di peringkat akar umbi.

Muhammad Akmal turut menyambut baik penubuhan Sovereign AI Cloud dan AI Transformation Centre oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun menekankan kepentingan penyelarasan berkesan dengan entiti sedia ada seperti MIMOS, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), MRANTI dan universiti.

“Setiap entiti ada kekuatan tersendiri, umpamanya MIMOS dalam pembangunan teknologi, NAIO dalam dasar, MRANTI dalam komersialisasi dan universiti dalam penyelidikan.

“Apa yang penting mereka saling melengkapi, bukan bersaing,” katanya yang turut mencadangkan Malaysia mencontohi beberapa negara maju yang telah menguatkuasakan undang-undang melarang penggunaan imej atau video seseorang tanpa kebenaran bagi tujuan janaan AI.

Sementara itu, pensyarah Kulliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Yasir Mohd Mustafah berkata langkah kerajaan memperkukuh agenda digitalisasi dan AI dalam belanjawan kali ini merupakan usaha berpandangan jauh untuk merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030.

Beliau berkata peruntukan hampir RM5.9 bilion bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) merupakan langkah strategik untuk memacu ekonomi berasaskan teknologi tinggi, selain memperkukuh kedaulatan data melalui inisiatif Sovereign AI Cloud.

“Saban tahun, peruntukan besar disediakan bagi aktiviti penyelidikan dan inovasi. Kerajaan perlu memastikan dana dimanfaatkan secara optimum bagi menjana impak nyata,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan