WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PASANGAN SUAMI ISTERI JUARA BIGGEST LOSER KBS 2025 PERINGKAT MELAKA

11/10/2025 09:20 PM

JASIN, 11 Okt (Bernama) -- Rutin berjalan kaki sejauh 12 kilometer (km) berulang alik ke tempat kerja setiap hari sejak lima bulan lepas nyata membuahkan hasil kepada Muhammad Hasif Nasaruddin, 37, apabila memenangi Pertandingan Biggest Loser Kementerian Belia dan Sukan (KBS) peringkat Melaka 2025.

Lebih manis, kejayaan itu turut dikongsi bersama isterinya Nur Khairul Nabila Kamaruddin, 37, yang memenangi kategori wanita selepas bersama-sama mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat secara konsisten sejak Mei.

Muhammad Hasif berkata sepanjang program itu berlangsung, beliau berjaya menurunkan berat sebanyak 27.3 kilogram (kg), daripada 122 kg kepada 95.6 kg manakala Nur Khairul Nabila susut 15.6 kg, daripada 84.3 kg kepada 68.7 kg.

"Setiap hari bermula 7 pagi saya akan berjalan kaki dari rumah di Ayer Keroh ke tempat kerja di Batu Berendam yang jaraknya sejauh enam kilometer sebagai latihan tambahan selain brisk walk setiap petang.

"Bila ada peluang sertai program KBS ini, saya ajak isteri untuk turut serta supaya sama-sama ubah rutin harian dan Alhamdulillah, hasil disiplin tinggi kami berjaya menurunkan berat badan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu pasangan suami isteri itu menerima hadiah pertandingan berkenaan yang disampaikan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Datuk V.P. Shanmugam sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat negeri di Merlimau.

Sementara itu, Nur Khairul Nabila menyifatkan program anjuran KBS itu sebagai pemangkin perubahan hidup keluarga mereka untuk cara hidup yang lebih sihat.

Beliau berkata mereka juga mengamalkan brisk walk sejauh 10,000 langkah dan membawa empat anak berusia dua hingga 12 tahun bersama setiap petang di kawasan perumahan untuk menjalankan aktiviti itu.

"Kami semua sekarang mengambil makanan yang lebih sihat dan dimasak sendiri manakala anak-anak juga tidak lagi makan makanan ringan atau makanan segera selain saya akan memastikan kami makan malam sebelum 7 malam.

"Program ini juga amat bagus kerana kita dapat mengetahui cara diet dan pemakanan yang betul untuk turunkan berat badan. Ia bukan sekadar pertandingan, tapi satu titik mula untuk gaya hidup sihat dan masa berkualiti bersama anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka Zailani Siran berkata pertandingan yang berlangsung dari 4 Mei hingga 6 Sept itu menerima 154 penyertaan dan sebanyak lapan program intervensi dijalankan termasuk latihan fizikal, senamrobik, ceramah kesihatan dan nasihat pemakanan oleh pelbagai agensi.

"Pemenang kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima RM1,500, diikuti RM800 untuk naib juara dan RM300 bagi tempat ketiga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan