WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUNGAI GOLOK PANJANG DAN SEMPIT, UJI KETANGKASAN POLIS KAWAL SEMPADAN

12/10/2025 11:55 AM

KOTA BHARU, 12 Okt (Bernama) -- Bentuk muka bumi Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang panjang dan sempit menjadi cabaran utama pasukan keselamatan negara mengawal kegiatan rentas sempadan dan penyeludupan haram di kawasan pemisah antara Malaysia dan Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata walaupun kawalan telah diperketatkan selepas beliau mengisytiharkan penutupan semua pengkalan haram di sepanjang sungai berkenaan, masih terdapat cubaan dilakukan pihak tertentu.

Beliau berkata polis mengawal sepanjang 45 kilometer (km) laluan sungai itu dengan 17 pos Pasukan Gerakan Am (PGA), masing-masing bertanggungjawab ke atas kawasan sejauh kira-kira 2km.

“Bukan mudah untuk mengawal keseluruhan sungai ini kerana ia panjang, sempit dan mempunyai banyak lorong tikus, terutama di kawasan utara dari Tanah Merah ke Jeli yang dikelilingi hutan tebal.

“Kadang-kadang penyeludup tunggu masa sahaja, bila nampak anggota tiada, mereka cepat-cepat lintas menggunakan perahu kecil,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini baru-baru ini.

Mohd Yusoff berkata ketika musim kemarau, paras air Sungai Golok akan menurun hingga ke tahap kering dan keadaan itu membolehkan penyeludup menyeberang ke selatan Thailand hanya dengan berjalan kaki dalam tempoh beberapa saat.

Beliau berkata situasi sama turut dimanfaatkan bagi membawa masuk pelbagai barangan seludup serta haiwan ternakan secara berjalan kaki merentasi sungai yang cetek berkenaan.

“Cabaran tidak hanya tertumpu di darat tetapi turut melibatkan kawasan perairan yang luas dari Pulau Tengkorak, Genting hingga ke Besut, Terengganu.

“Laut lebih terbuka dan panjang, kami harap Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga yang kini berpangkalan di Kuantan, Pahang dapat berpindah segera ke Tok Bali di Pasir Puteh supaya semua aset kawalan dapat digerakkan lebih berkesan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata walaupun pasukan kini tidak lagi menggunakan unit Senoi Praaq seperti sebelum ini, kekuatan anggota di bawah Briged Tenggara PGA yang meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang memadai bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata pihaknya baru menerima kenderaan pengangkut berperisai (APC) bagi memperkukuh kawalan, sementara aset lain sedang menunggu kelulusan kerajaan.

“Aktiviti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia kini dilihat semakin berkurangan, namun tumpuan kini diberikan kepada kemasukan haiwan ternakan seperti lembu, babi dan beras dari negara jiran.

“Kes dadah yang ditangkap di Kelantan kebanyakannya bukan diseludup terus dari sempadan. Ia sudah berada di negeri ini, menunjukkan kemasukan berlaku melalui laluan lain termasuk laut,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusoff menegaskan kerjasama dengan pihak keselamatan Thailand berada pada tahap sangat baik.

“Kami sering adakan mesyuarat dan operasi bersama Pasukan Polis Marin Malaysia dan Thailand juga menjalankan rondaan bersama di sepanjang Sungai Golok bagi memastikan keselamatan sempadan sentiasa terkawal,” katanya.

Mohd Yusoff berkata setakat ini sebanyak 212 pengkalan haram dikenal pasti di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, termasuk 153 di atas tanah kerajaan dan selebihnya di tanah milik individu.

“Kami telah mengeluarkan notis perobohan kepada awam. Untuk fasa pertama, kami akan roboh pengkalan atas tanah kerajaan dulu kerana tidak melibatkan pemilik individu. Insya-Allah, kerja-kerja perobohan akan bermula pertengahan bulan ini,” katanya.

Mohd Yusoff berkata kempen kesedaran terus dijalankan oleh Ketua Polis Daerah di kawasan sempadan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli bagi mendidik masyarakat bahawa kegiatan penyeludupan serta merentas sempadan secara haram adalah satu kesalahan undang-undang.

“Sebelum ini, banyak penduduk yang menetap di kawasan sempadan menganggap keluar masuk sempadan negara secara bebas bukan satu kesalahan kerana ia telah menjadi tradisi turun-temurun sejak sebelum perang tapi selepas kami beri penerangan, banyak yang faham dan kini mereka sendiri salurkan maklumat tentang penyeludupan dan migran kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aspek integriti pegawai dan anggota polis yang bertugas di sempadan, beliau menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan penyeludup.

“Dalam keluarga pun, anak tidak semuanya sama. Begitu juga dalam pasukan polis, ada segelintir yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat tapi jumlahnya sangat kecil. Mereka sudah dalam radar kami dan tindakan akan diambil,” katanya.

Mengulas sama ada polis akan menggunakan kamera badan pada anggota yang bertugas di sempadan, beliau berkata penggunaan kamera badan ketika ini masih terhad kepada Unit Rondaan Bermotosikal dan MPV, namun polis sedang meneliti keperluan memperluaskannya kepada anggota di sempadan bagi meningkatkan ketelusan dan pemantauan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan