WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2026: PERUNTUKAN RM350 JUTA PERLUAS PERANAN NADI, PERKASA E-USAHAWAN - TEO

12/10/2025 03:44 PM

KULAI, 12 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM350 juta bagi memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam Belanjawan 2026 dijangka dapat merancakkan lagi program pembangunan e-usahawan serta memperluas peranan pusat berkenaan dalam penghantaran ubat dan perkhidmatan kesihatan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara program utama NADI ialah membimbing usahawan desa untuk meningkatkan pendapatan melalui perniagaan dalam talian dengan kerjasama platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok.

“Program (pembangunan usahawan) ini memang sedang dijalankan … kami bekerjasama dengan penyedia platform seperti Shopee, Lazada dan TikTok untuk menyediakan latihan kepada mereka yang berminat menjadi seorang e-usahawan.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi NADI berhampiran. Jika permintaan mencukupi, kami akan mengundang pelatih daripada platform e-dagang untuk hadir. Mereka bukan sahaja akan berkongsi cara menjadi seorang e-usahawan, malah juga boleh mengatur kursus seperti pembungkusan produk dan reka poster,” katanya di sini hari ini.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan kepada Kuil Sri Nagakanni, Bandar Putra.

Mengulas lanjut, Teo berkata setakat ini terdapat 1,089 NADI di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya satu pusat ditempatkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, beliau berkata fungsi NADI akan turut diperluas sebagai pusat penghantaran perubatan menerusi projek rintis menggunakan dron yang dijangka bermula pada hujung tahun ini, bagi memudahkan penduduk luar bandar menerima perkhidmatan kesihatan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Projek rintis ini melibatkan kerjasama Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Kesihatan yang akan dilaksanakan di dua lokasi pertama, iaitu Sibu, Sarawak (melibatkan Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan NADI Kampung Jeriah) serta Tawau, Sabah (Klinik Kesihatan Tawau dan NADI Batu Payung serta NADI Kampung Sungai Imam),” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" di Dewan Rakyat berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan RM350 juta bagi memperkasakan Pusat NADI termasuk membimbing usahawan desa menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

Terdahulu, Teo menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Pengerusi Kuil Sri Nagakanni, R. Cheran, 53, bagi membantu pembinaan semula kuil itu yang rosak teruk dalam kejadian ribut pada Ogos lepas.

Beliau berkata ribut bersama hujan lebat yang melanda kawasan kuil itu telah mengakibatkan sebatang pokok besar tumbang, menyebabkan kerosakan hampir 80 peratus pada struktur kuil dan menjadikannya tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Sumbangan RM20,000 hari ini diharap dapat membantu urusan pembinaan semula oleh pihak pengurusan kuil. Setakat ini, saya telah menyumbang sebanyak RM80,000 kepada NGO (badan bukan kerajaan) dan kuil di bawah Parlimen Kulai bagi tujuan pelaksanaan program serta naik taraf dan pembaikan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan