IPOH, 12 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini melakukan pemantauan udara melibatkan 15 lokasi dikenal pasti sebagai titik panas bencana di negeri ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Facebook, pemantauan itu merangkumi kawasan Kinta, Changkat Jering dan Kinta Kampar yang berisiko dilanda banjir serta kepala air, selain kawasan Bukit Merah yang terdedah kepada kebakaran hutan dan kemarau.
Saarani turut meninjau kawasan sekitar Terowong Menora di Lebuh Raya PLUS yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kemalangan, serta kawasan Lenggong yang mempunyai potensi tinggi berlakunya tanah runtuh.
Antara lokasi terlibat di kawasan Kinta termasuk Rekreasi Ulu Chepor, Kledang Sayung dan jajaran Lebuh Raya PLUS, manakala di Changkat Jering meliputi Kampung Bendang Siam dan Air Terjun Bukit Jana.
Di Bukit Merah, pemantauan dilakukan di sekitar Gunung Semanggol dan Tasek Bukit Merah, sementara di Lenggong melibatkan Kuak Hill Resort dan Dataran Tasek Raban. Kawasan Kinta Kampar pula merangkumi Sungai Siput dan Gopeng.
Tinjauan itu turut disertai Pengarah Bahagian Udara JBPM Datuk Norazam Khamis; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Timbalan Pengarah JBPM Perak Yusri Mohd Yusoff @ Hashim.
Sementara itu, JBPM Perak memaklumkan sebanyak 332 lokasi di negeri ini dikenal pasti sebagai titik panas banjir dengan Kuala Kangsar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 76 lokasi, diikuti Kinta dan Kerian (59), serta Larut, Matang dan Selama (57 lokasi).
Bagi risiko tanah runtuh, Kinta merekodkan 14 lokasi, Hulu Perak (lapan), Larut, Matang dan Selama (enam), Kuala Kangsar (empat), Kampar (tiga) dan masing-masing satu lokasi di Muallim serta Batang Padang.
Kinta turut mencatatkan lapan lokasi berisiko kepala air, diikuti Larut, Matang dan Selama (empat), manakala Hulu Perak, Kampar dan Kuala Kangsar masing-masing tiga lokasi.
Bagi risiko kebakaran hutan, daerah Kerian melibatkan tujuh lokasi, Hulu Perak (lima), Perak Tengah, Manjung dan Larut, Matang dan Selama masing-masing dua lokasi, manakala Bagan Datuk, Kuala Kangsar dan Kinta masing-masing satu lokasi.
Sementara itu, Saarani menerusi kenyataan di laman Facebook berkata kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap maklumat oleh JBPM Perak itu dan akan menjadikannya asas tindakan mitigasi awal bersama pihak bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah serta agensi keselamatan lain.
Beliau berkata pendekatan sinergi dan kesiapsiagaan bersepadu akan diperkukuh bagi memastikan pelan tindak balas kecemasan dapat digerakkan dengan pantas dan berkesan.
“Saya menyeru rakyat agar berwaspada serta peka terhadap amaran cuaca, terutamanya di kawasan berhampiran sungai, tanah tinggi dan kawasan rekreasi air terjun.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti di kawasan berisiko tinggi ketika hujan lebat serta segera melaporkan sebarang tanda awal kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya.
Saarani berkata kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan pelan pengurusan bencana negeri, termasuk pemetaan risiko, sistem amaran awal dan penyediaan logistik sokongan bagi membantu rakyat di kawasan berisiko.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial