Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan sekali gus mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan–Thailand.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata hal ini kerana bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan airnya cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional, meskipun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, dron atau kamera litar tertutup (CCTV).
"Walaupun menggunakan teknologi tinggi, kawalan tetap sukar kerana keadaan sungai itu membolehkan orang menyeberang ke Thailand dalam tempoh sesaat sahaja. Malah, langkah itu juga tidak mencukupi kerana kawalan menggunakan dron, CCTV dan sistem pengawasan automatik memerlukan tenaga manusia sepanjang masa.
"Sebab itu, saya cadangkan kerajaan mempercepat pembinaan tembok atau pagar keselamatan di sepanjang zon penampan sungai," katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata keadaan bentuk muka bumi sempadan di Kelantan juga jauh lebih mencabar berbanding sempadan di negeri lain seperti Perlis atau Kedah kerana jarak antara dua negara di sesetengah kawasan, terutama di Tanah Merah dan Jeli, hanya beberapa meter.
"Disebabkan sempit dan cetek, penyeludupan haiwan ternakan dan kontraban juga sangat mudah dilakukan di Sungai Golok. Cadangan pembinaan tembok ini sudah lama dibincangkan dan saya berharap perkara ini dapat direalisasikan segera kerana langkah ini sahaja dilihat paling berkesan," katanya.
Mohd Yusoff berkata negara maju seperti Amerika Syarikat dan Mexico menggunakan pendekatan sama bagi mengawal sempadan mereka dengan lebih berkesan.
"Kalau betul-betul mahu kawal 100 peratus aktiviti rentas sempadan, pembinaan tembok keselamatan ialah satu-satunya jalan penyelesaian menyeluruh untuk mengawal penyeludupan di sempadan.
"Pembinaan tembok atau pagar ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga soal kedaulatan negara selain merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan," katanya.
Selain dapat memperkukuh kawalan sempadan, Mohd Yusoff berkata tembok keselamatan itu juga boleh berfungsi sebagai tebatan banjir bagi mengekang limpahan air sungai akibat hujan berterusan yang kerap melanda kawasan sempadan.
Beliau berkata sepanjang 163 kilometer sempadan Kelantan–Thailand, kira-kira 91 kilometer melibatkan kawasan air, justeru pemasangan tembok atau pagar keselamatan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian lokasi.
"Semasa musim tengkujuh, paras air Sungai Golok akan melimpah sehingga garis sempadan negara tidak lagi kelihatan menyebabkan penyeludup mengambil kesempatan menaiki bot untuk masuk ke Malaysia, malah boleh pergi lebih jauh hingga Pasir Mas dan Meranti.
"Sebab itu penyeludup ke Kelantan ketika dilanda banjir kerana mereka bebas keluar masuk negara ini, begitu juga musim kemarau kerana paras air di Sungai Golok akan kering, sekali gus memudahkan penyeludup kerana mereka hanya perlu berjalan kaki ke sempadan dengan lebih cepat," katanya.
Beliau berkata anggota berdepan cabaran ketika musim tengkujuh kerana balai polis dan pos kawalan berhampiran sempadan negara ditenggelami air, bahkan anggota juga perlu membantu mangsa banjir yang terjejas.
"Pembinaan tembok itu akan membantu polis dan agensi keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am melaksanakan rondaan dengan lebih selamat, terutama ketika banjir apabila operasi menggunakan bot menjadi terhad," katanya.
Pada November tahun lepas, Bernama melaporkan Thailand menyambut baik cadangan Kelantan untuk mengusulkan kepada kerajaan pusat mengenai pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok–Rantau Panjang.
Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham dilaporkan berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial