WILAYAH - SELATAN > BERITA

MAXIS DAN ASTRO RAI LEBIH 200 MASYARAKAT CHETTI DI MELAKA SEMPENA DEEPAVALI

13/10/2025 01:30 PM

MELAKA, 13 Okt (Bernama) -- Maxis dan Astro meraikan lebih 200 penduduk daripada masyarakat Chetti di Melaka dengan pelbagai aktiviti kesenian serta kebudayaan bagi memeriahkan sambutan perayaan Deepavali.

Ketua Wilayah Selatan Maxis Broadband Sdn Bhd Mazlan Mokhtar berkata inisiatif itu, yang dilaksanakan di bawah tanggungjawab sosial korporat, merupakan antara program tahunan syarikat bagi meraikan kemeriahan sambutan Pesta Cahaya dengan masyarakat India. 

"Program hari ini adalah istimewa dan kita berbesar hati untuk meraikan sambutan Deepavali bersama penduduk di Kampung Chetti ini dengan pelbagai aktiviti selain sedikit sumbangan agar mereka dapat meraikan perayaan itu dengan gembira.

"Kampung Chetti dan masyarakatnya sangat istimewa kerana ia sebahagian daripada warisan negara disebabkan kepelbagaian mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum serta mempunyai keunikan budaya, makanan, pakaian dan bahasa komunikasi ialah Bahasa Melayu," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian selepas program Deepavali Festive Charity: Together for a Better Tomorrow anjuran Maxis dan Astro yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong semalam.

Mazlan berkata menerusi program itu, Maxis dan Astro menjalinkan kerjasama dalam merangka pelbagai aktiviti bagi mendekati serta merapatkan hubungan dengan masyarakat Chetti.

Beliau berkata pada program itu, kedua-dua syarikat turut menyumbang 100 beg makanan berisi barangan keperluan asas untuk penduduk masyarakat Chetti daripada golongan B40.

"Maxis juga menyumbang tiga komputer riba untuk bilik bacaan di Kampung Chetti selain sebuah meja pingpong… kita bukan sahaja beroperasi untuk berniaga tetapi suka menyumbang semula kepada komuniti," katanya.

Khoo pula berkata program CSR yang dilaksanakan Maxis dan Astro itu merupakan satu inisiatif baik yang perlu dicontohi lebih banyak syarikat korporat lain.

"Program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima bantuan untuk membuat persiapan Deepavali sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada mereka," katanya.

Bagi Setiausaha Kuil dan Kaum Chetti Melaka T. Sithambaram Pillay, sumbangan beg makanan amat bermakna khususnya buat golongan kurang berkemampuan untuk meraikan perayaan itu.

Beliau berkata sumbangan itu juga merupakan satu penghargaan buat masyarakat tersebut sekali gus meringankan beban mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan