SIBU, 13 Okt (Bernama) -- Hospital Sibu masih termasuk dalam rancangan kerajaan untuk dinaik taraf secara berperingkat daripada hospital daerah kepada hospital rujukan wilayah setaraf dengan Hospital Umum Kuching, kata Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew.
Beliau berkata komponen utama penaiktarafan itu ialah pembinaan bangunan baharu Hospital Sibu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dianggarkan menelan belanja RM1 bilion dan akan memberi tumpuan kepada rawatan kanser, termasuk penubuhan Jabatan Onkologi.
“Walaupun projek itu tidak disebut dalam ucapan belanjawan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia tetap termasuk dalam Belanjawan 2026. Ucapan belanjawan hanyalah ringkasan satu hingga dua jam, sedangkan perincian penuh terdapat dalam dokumen belanjawan rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ling berkata selepas pengumuman Belanjawan 2026, perkara utama yang menjadi perhatian rakyat Sibu ialah pembangunan Hospital Sibu, kemudahan kesihatan seperti klinik, serta projek infrastruktur lain di kawasan berkenaan.
Bilik rawatan intervensi jantung untuk Hospital Sibu juga telah diluluskan, katanya menjadikan Sibu antara tiga lokasi di Sarawak menerima kelulusan itu selain Bintulu dan Miri.
Menurut Ling, bagaimanapun pembinaan bilik pembedahan jantung terbabit masih menunggu lokasi yang sesuai berikutan kekangan ruang.
“Selain itu, projek pemindahan sementara Klinik Kesihatan Oya juga sedang dalam perancangan. Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju lokasi sedia ada sesuai untuk dibangunkan semula kerana kedudukannya strategik,” katanya.
Beliau berkata walaupun Belanjawan 2026 tidak menyebut secara khusus projek perubatan di Sibu, rancangan pembangunan yang telah diluluskan akan tetap diteruskan.
Antara projek besar berkaitan Sibu ialah Projek Kabel Dasar Laut MADANI bernilai RM2 bilion bagi meningkatkan perkhidmatan Internet di kawasan berkenaan dan projek naik taraf beberapa seksyen Lebuhraya Pan Borneo dengan kos RM350 juta.
Beliau memaklumkan pusat khidmatnya telah menyalurkan hampir RM1 juta dalam tempoh dua tahun ini bagi menubuhkan Wad Ketergantungan Tinggi (HDU) untuk pesakit neurosurgeri di Hospital Sibu yang memberi manfaat besar bagi pesakit strok serta pesakit kanser otak.
Ling turut menyambut baik reformasi sektor kesihatan yang diperkenalkan KKM melalui Belanjawan 2026 termasuk RM144 juta untuk memperkukuh kerjasama sektor awam-swasta yang membolehkan pesakit dirujuk ke hospital tentera, universiti dan swasta dengan kos ditanggung kerajaan.
Perkhidmatan rawatan luar itu, katanya amat penting kerana ia menjamin pesakit tetap mendapat rawatan walaupun kemudahan di Hospital Sibu tidak mencukupi, dengan kos ditanggung kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial