WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERUNTUKAN STR, SARA MENINGKAT BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKUKUH JARINGAN SOSIAL - MOF

14/10/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari tahun ke tahun membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024 menjadi antara mekanisme utama untuk menghapuskan kemiskinan tegar serta memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang ingin mengetahui mengenai pendirian kerajaan berhubung keberkesanan pelaksanaan SARA dalam membantu golongan B40 dan isu laporan kelewatan bayaran yang diterima sebahagian penerima di luar bandar.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan bagi STR dan SARA akan meningkat kepada RM15 bilion di bawah Belanjawan 2026 berbanding RM13 bilion pada 2025, yang dijangka memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

Lim berkata setakat ini, terdapat lebih 5.4 juta penerima SARA bulanan di bawah STR telah direkodkan dengan jumlah kelayakan tahunan sebanyak RM5 bilion.

“Sehingga 13 Okt 2025, lebih 5.34 juta daripada keseluruhan penerima SARA telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.3 bilion,” katanya.

Berdasarkan prestasi pelaksanaan program SARA bulanan tahun 2025, katanya kadar penggunaan tertinggi telah dicatatkan di Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 99 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai-kedai runcit berdaftar dan seterusnya menafikan kelewatan penggunaan SARA di sebahagian kawasan luar bandar. 

Bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini, katanya setakat 13 Oktober lepas, jumlah kedai Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 8,400 buah kedai di seluruh negara.

“Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah berhubung penambahbaikan, mekanisme kawalan ketirisan dan kajian impak jangka panjang dalam memastikan program SARA benar-benar membantu golongan sasaran tanpa menjejaskan kedai runcit mikro, katanya MoF menggalakkan kedai runcit atau peniaga menyertai program Rakan Niaga SARA dengan membuat permohonan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan