WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK TAPAK PELANCAR ROKET MASIH DI PERINGKAT KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN

15/10/2025 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Projek pembangunan tapak pelancar kapal angkasa di Malaysia masih berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan serta penilaian terhadap cadangan lokasi, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Beliau berkata setakat ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menerima laporan kajian kebolehlaksanaan penuh melalui Kerajaan Negeri Pahang, dan laporan tersebut dijangka dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Pelbagai Agensi dalam masa terdekat.

“Pada awal tahun ini juga, MOSTI turut menerima Laporan Kajian Interim melalui Kerajaan Negeri Sabah, dan kerajaan Persekutuan kini menunggu laporan penuh sebelum proses penilaian dimulakan,” katanya  pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai perkembangan terkini inisiatif pembangunan tapak pelancaran kapal angkasa (roket) di Malaysia termasuk senarai projek atau memorandum persefahaman yang telah dimeterai.

Dalam pada itu, Mohammad Yusof berkata sebarang kerjasama berkaitan pembangunan kemudahan pelancar akan dibincangkan melalui platform kerjasama yang telah dimeterai dengan agensi luar negara, iaitu Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dan China National Space Administration (CNSA).

Beliau berkata projek pembangunan tapak pelancar itu diyakini dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara hab strategik industri angkasa serantau serta menjana limpahan ekonomi melalui penyediaan peluang pekerjaan baharu, pemindahan teknologi dan peningkatan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan