WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMAIN ARAB SAUDI AL DAWSARI DINOBATKAN PEMAIN TERBAIK TAHUNAN AFC

17/10/2025 12:33 PM

RIYADH, 17 Okt (Bernama-QNA) -- Pemain Arab Saudi, Salem Al Dawsari dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) manakala Hana Takahashi dari Jepun merangkul anugerah Pemain Wanita Terbaik Tahunan AFC pada Khamis di Anugerah AFC 2025 di Riyadh, Arab Saudi, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Kedua-dua pemain itu membawa pulang anugerah tertinggi sebagai pemain terbaik Asia pada edisi ke-29 acara berprestij itu, yang turut menobatkan pemenang dalam 18 kategori lain pada majlis gilang-gemilang di Pusat Kebudayaan King Fahad.

Al Dawsari menerima pengiktirafan itu selepas melalui musim 2024/25 yang cemerlang, menyaksikan beliau muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara Elit AFC untuk membantu Al Hilal SFC mara ke peringkat separuh akhir, selain turut menyerlah di Piala Dunia Kelab FIFA dalam kempen mereka ke peringkat suku akhir.

Di peringkat domestik, pemain berusia 34 tahun itu muncul sebagai penyumbang bantuan gol terbanyak sepanjang sejarah liga dan turut menjaringkan 15 gol.

Kemenangan itu merupakan yang kedua bagi Al Dawsari selepas kejayaannya pada 2022 sekali gus menjadikannya pemain Arab Saudi pertama memenangi anugerah itu dua kali, dan pemain keempat yang pernah melakukannya selepas Hidetoshi Nakata dari Jepun, Akram Afif dari Qatar dan Server Djeparov dari Uzbekistan.

-- BERNAMA-QNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan