WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN PERTAHANAN, AKPS JALIN KERJASAMA SERAP VETERAN TENTERA ELIT

17/10/2025 03:33 PM

BUTTERWORTH, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memilih veteran tentera yang layak diserap ke dalam agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya akan menyenaraikan calon terbaik dalam kalangan anggota yang telah menamatkan perkhidmatan, dengan keutamaan diberikan kepada bekas anggota pasukan elit Grup Gerak Khas (GGK).

“Keutamaan kita sememangnya kepada anggota GGK, atau komando, kerana mereka mempunyai kemahiran dan disiplin tinggi yang sesuai dengan keperluan AKPS.

“Walaupun pemilihan akan dibuat oleh AKPS namun kementerian akan membantu dengan menyenaraikan anggota terbaik untuk diserapkan bagi menjaga pintu masuk utama negara… ini kerana peranan AKPS bukan sahaja melibatkan kawalan sempadan tetapi juga keselamatan di pintu-pintu masuk utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif LTAT Mohamad Ashraf Md Radzi.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat Rabu lepas, Adly memaklumkan bahawa veteran tentera daripada skuad elit GGK akan diserap ke dalam AKPS untuk memperkukuh keupayaan aspek kawalan sempadan negara.

Beliau berkata langkah itu sebagai sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran veteran tentera khususnya membabitkan anggota skuad elit berkenaan. 

Mengulas lanjut, Adly berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan bekas anggota pasukan elit lain seperti 10 Briged Paratrooper (10 Briged Para) untuk diserap ke dalam AKPS namun tidak mendedahkan jumlah sebenar veteran yang akan terlibat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada pelantikan pegawai dalam kalangan veteran tentera bagi memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS demi memastikan kesiapsiagaan penuh.

Perkara itu disambut baik oleh Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang menyifatkan pengalaman veteran dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara sebagai sesuatu yang  amat ditagih oleh pihaknya dalam menjayakan hasrat kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan