WILAYAH - TENGAH > BERITA

PM ANWAR MINTA NGO UTAMAKAN BANTUAN KE GAZA, BUKAN KEHADIRAN RAMAI SUKARELAWAN

17/10/2025 05:05 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memberikan tumpuan kepada persiapan bantuan kemanusiaan dari Malaysia dan tidak terburu-buru menghantar ramai sukarelawan ke Gaza.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar tanpa membebankan keadaan di lapangan, selain menghormati keupayaan penduduk tempatan yang mahu memainkan peranan sendiri dalam proses pemulihan.

Anwar berkata situasi semasa di Gaza menunjukkan tenaga kerja tempatan mencukupi dan mereka sendiri mahu terlibat secara aktif dalam pelaksanaan misi kemanusiaan.

"Jadi, saya telah mengingatkan NGO yang mahu menolong supaya membantu dari segi persiapan di sini dan jangan membebankan keadaan dengan menghantar terlalu ramai orang untuk pergi.

"Ramai yang daftar nak pergi, dah beribu-ribu orang. Tetapi, orang Gaza sendiri kata, jangan ramai sangat. Mereka ada tenaga, cuma tak ada kerja. Jadi, mereka nak buat kerja. Kita bantu dari sini. Kalau esok mereka memerlukan kita, kita boleh berbincang semula," kata beliau kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas kemungkinan pembukaan sempadan Rafah di Mesir tidak lama lagi untuk membolehkan pergerakan serta penghantaran bantuan kemanusiaan antara Mesir dengan Gaza.

Menurut beliau, hasil pertemuan dengan wakil NGO seperti Ehsan Relief Malaysia dan Mercy Malaysia serta beberapa NGO lain mendapati keperluan utama penduduk Gaza ialah ubat-ubatan, makanan dan kemudahan asas serta bukannya kehadiran sukarelawan secara besar-besaran.

"Mereka tidak memerlukan kehadiran kita dalam jumlah yang ramai. Kalau doktor atau jurutera, mereka sudah mempunyai tenaga mencukupi. Apa yang mereka perlukan ialah kemudahan asas, dan kalau boleh dibeli di sana, lebih murah daripada dibeli di sini," kata Anwar.

Beliau berkata bagi keperluan ubat-ubatan pula, syarikat yang mampu menyalurkan bekalan itu perlu dikenal pasti.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengesahkan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dijangka menghubungi beliau esok bagi berkongsi perkembangan tentang pembukaan pintu sempadan Rafah.

Anwar berkata beliau sendiri akan menyampaikan beberapa pandangan tambahan supaya apabila pintu Rafah dibuka, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan