WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOMUNIKASI, KESILAPAN MUDAH PUNCA TFC BERPUTIH MATA DI LAMAN SENDIRI

19/10/2025 10:47 AM

KUALA NERUS, 19 Okt (Bernama) -- Masalah komunikasi dan kesilapan individu punca utama pasukan Terengganu FC (TFC) tewas pada aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Ketua jurulatih skuad Penyu Badrul Afzan Razali berkata kekalahan besar 1-4 di tangan Kuching City FC menyebabkan pasukan berdepan tugas berat untuk mencipta jaringan besar apabila bertandang ke Sarawak pada 28 Okt nanti.

Beliau yang mengakui kecewa dengan keputusan malam tadi bagaimanapun tetap menaruh harapan agar pemain dapat bangkit pada perlawanan kedua bagi memburu slot separuh akhir, sekali gus mara ke pentas final piala berprestij itu.

"Saya selalu pesan pada pemain supaya elakkan kesilapan mudah apabila bertemu dengan Kuching City. Tetapi keghairahan pemain untuk menjaringkan gol menyebabkan banyak kesilapan mudah sekali gus menyebabkan kita dihukum dengan dua gol pada separuh masa pertama.

"Pada separuh masa kedua kita bangkit beri tekanan tetapi masalah individu dan kesilapan mudah tetap berulang. Jadi, saya harap pemain dapat belajar menerusi perlawanan ini untuk tidak lagi lakukan kesilapan sama pada perlawanan timbal balik nanti," katanya selepas aksi pertama suku akhir Piala FA di SSMZA malam tadi.          

Badrul Afzan berkata masalah ketumpulan penyudah masih menghantui skuad Penyu apabila beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan.

Sementara itu, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berkata pujian harus diberikan kepada anak buahnya yang bekerja keras dan bermain dengan penuh disiplin hingga membawa pulang bekalan selesa ke Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata The Cats tidak boleh leka dan perlu segera melakukan perancangan taktikal bagi memastikan kemenangan kekal milik mereka pada perlawanan kedua nanti.

"Sebelum datang ke Terengganu kita telah membuat homework kerana kita tahu pasukan lain yang datang ke sini selain Johor Darul Ta'zim biasanya akan bolos dua tiga gol.

"Tetapi kita masih ada 90 minit di tempat sendiri dan kita tak mahu terlalu selesa dengan duduk serta bertahan. Kita akan beri persembahan terbaik untuk penonton yang datang nanti kerana itulah kegembiraan dalam bola sepak," katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan