KLANG, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor berjaya menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu menerusi langkah proaktif dengan mengenal pasti segera mereka yang dibelenggu permasalahan tersebut
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata senarai mereka yang terlibat akan dikemukakan kepada pihaknya setiap enam bulan dan dihubungkan terus dengan instrumen bantuan seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) serta zakat.
"Banyak juga yang kerajaan negeri belanjakan untuk menoktahkan kemiskinan tegar ini tetapi dari awal dahulu kita telah kenal pasti 700 individu dan ia berkurang kepada 300 orang.
"...ini melibatkan bantuan kewangan, ada yang memerlukan RM400 kita tambah dengan wang zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang Islam manakala bagi bukan Islam sudah pasti ada bantuan daripada kerajaan negeri dan JKM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2025 di sini hari ini.
Amirudin berkata fokus pentadbirannya kini tertumpu kepada usaha menoktahkan kemiskinan di Selangor menerusi kaedah yang telah dirancang dan akan dibentangkan pada Belanjawan Selangor 2026 nanti.
Beliau berkata menerusi Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri terdapat hampir 2,000 individu yang berada di ambang kemiskinan tegar akibat terlantar atau berdepan dengan permasalahan yang menekan.
"Walaupun mereka ini belum jatuh ke kategori miskin tegar kita akan cuba bantu untuk selesaikan masalah supaya tidak masuk ke dalam kategori tersebut seterusnya keluar daripada kemiskinan, sebab itu kita akan formulakan sesuatu pada belanjawan.
"Disiplinnya sama, setiap enam bulan kita dapat laporan kita akan keluarkan mereka dengan sokongan bantuan yang ada dan bagi miskin yang terlantar atau tak boleh bekerja kita akan cuba bantu sebelum jatuh ke miskin tegar atau paling tidak dapat menyara kehidupan secara paling asas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial