KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Dunia teater di Kelantan perlu diberi hala tuju lebih tersusun agar bakat muda yang semakin menyerlah tidak dibiarkan tenggelam tanpa ruang bimbingan dan pentas tetap untuk diasah potensi mereka.
Pengarah Teater ‘Di Mana Putra? Kembara Ilusi Merentas Imaginasi, Fantasi dan Realiti’, Aqil Rozai berkata pengalaman mengendalikan pementasan berskala besar melibatkan pelajar sekolah menengah dan rendah membuka matanya terhadap keupayaan luar biasa generasi muda negeri berkenaan untuk beraksi penuh keyakinan di atas pentas.
Beliau berkata cabaran utama dunia teater di negeri itu ketika ini ialah ketiadaan platform tetap serta pertandingan berkala yang mampu mengekalkan minat anak muda dan membina kesinambungan latihan bagi melahirkan pelapis baharu secara konsisten.
“Kalau ada ruang persembahan kecil pun sudah memadai, ia boleh memuatkan 100 penonton setiap sesi dan dijadikan tempat latihan tetap serta pengasah bakat berterusan, bukan sekadar projek besar setahun sekali,” katanya kepada Bernama selepas pementasan teater berkenaan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat malam tadi.
Aqil yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pengarahan berkata teater terbitan Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) itu mengetengahkan pelbagai watak menarik termasuk Jack Sparrow, Peter Pan serta tokoh tempatan seperti Tok Janggut, Sarjan Che Wan dan Tok Kenali sebagai usaha memperkenalkan semula sejarah negeri kepada generasi baharu.
Beliau berkata potensi teater di Kelantan amat besar dengan kemunculan banyak pelapis berbakat daripada sekolah serta institusi pendidikan tempatan, namun kesinambungan latihan dan pementasan perlu diadakan secara lebih konsisten agar minat mereka tidak terhenti separuh jalan.
“Mereka bukan sekadar belajar berlakon tetapi membina disiplin, keyakinan diri dan kemahiran komunikasi. Kalau peluang latihan berterusan diwujudkan, banyak bakat baharu dari Kelantan boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan, malah antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya agensi seperti JKKN, Jabatan Pendidikan Negeri dan universiti tempatan memperkukuh kerjasama dengan kumpulan teater profesional bagi mengadakan bengkel lakonan, penulisan skrip serta pengarahan di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Pengarah JKKN Kelantan Rohaniza Abdullah berkata pihaknya komited menyediakan platform kepada penggiat seni tempatan khususnya bakat muda untuk menonjolkan kreativiti mereka menerusi pementasan teater.
“Yang penting ialah platform mesti ada. Apabila ada ruang untuk mereka mementaskan karya, bakat baharu boleh diasah dan masyarakat juga dapat menghargai keindahan teater sebagai satu cabang seni,” katanya.
Beliau berkata pementasan teater kanak-kanak seperti ‘Di Mana Putra?’ memberi impak positif kerana menarik minat keluarga untuk menonton bersama, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memperkenalkan dunia teater kepada generasi muda.
“Ini langkah permulaan untuk membawa semula teater kepada masyarakat dan memastikan seni pentas ini terus hidup di Kelantan. JKKN menilai karya berdasarkan kualiti dan kredibiliti pengarah serta pelakon yang mampu menarik penonton,” katanya.
Teater ‘Di Mana Putra?’ mengangkat kisah ‘penyucian jiwa’ watak utama, Putra iaitu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang nakal, gemar berfantasi dan sering mengambil kesempatan terhadap orang lain.
Teater ini membawa penonton menyelami perjalanan Putra yang hilang secara misteri dan terperangkap dalam dunia fantasi dan bertemu pelbagai watak termasuk Jack Sparrow, Peter Pan serta tokoh tempatan seperti Tok Janggut, Sarjan Che Wan dan Tok Kenali.
Melalui pengalaman itu, Putra akhirnya menyedari nilai jati diri sebenar dan kepentingan menghargai insan di sekelilingnya.
Pementasan teater semalam mencatat sambutan luar biasa dengan hampir 1,000 penonton memenuhi Auditorium JKKN Kelantan, manakala persembahan kedua dijadualkan berlangsung malam ini di lokasi sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial