PASIR MAS, 19 Okt (Bernama) -- Penduduk Rantau Panjang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung pembinaan tembok keselamatan bagi menangani risiko banjir dan keselamatan sempadan yang semakin meruncing.
Mereka berharap tembok “dua dalam satu” itu bukan sahaja menjadi benteng bagi melindungi sempadan negara daripada dibolosi tetapi juga mampu menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh yang mengancam rumah penduduk dan perniagaan di kawasan terbabit.
Ancaman limpahan air yang berlaku hampir setiap tahun itu membuatkan penduduk di kawasan sempadan berdepan kesukaran apabila rumah mereka ditenggelami air dan terpaksa menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan sekiranya pihak berkuasa tidak dapat memasuki kawasan terjejas.
Seorang penduduk, Jasmin Hassan, 65, berkata pelaksanaan projek tembok keselamatan tersebut adalah langkah segera untuk melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan komuniti sempadan.
“Tanpa tembok keselamatan yang kukuh, masalah banjir dan keselamatan di sempadan tidak akan selesai. Saya sendiri sudah menyimpan makanan sebagai persediaan sekiranya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat sampai ke sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Kampung Lubok Jong, Rantau Panjang, di sini.
Jasmin berkata keadaan lebih mencabar apabila arus deras Sungai Golok menyebabkan paras air naik dengan cepat hingga ke tingkat atas rumah.
Seorang lagi penduduk, Wan Faizal Che Rajiun, 50-an, berkata pembinaan tembok sempadan adalah langkah terbaik untuk memudahkan tugasan pihak berkuasa menjaga kedaulatan negara sekali gus menyukarkan aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan barang terlarang.
Dia berkata kemasukan pendatang asing secara tidak terkawal masih berlaku walaupun ramai yang ditangkap, dan dengan adanya tembok keselamatan diharap dapat mengurangkan risiko jenayah dari negara jiran, termasuk rompakan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk tempatan.
Penjual makanan, Ahmad Tarmizi Mustapha, 40-an, pula berkata dia amat bersyukur sekiranya pembinaan tembok tersebut benar-benar dapat dilaksanakan oleh kerajaan.
Dia berkata walaupun pembinaan tembok keselamatan hanya cadangan oleh Ketua Polis Kelantan kepada kerajaan negeri, ia perlu dipertimbangkan dengan serius kerana negara jiran telah membinanya terlebih dahulu.
“Tembok ini bukan sahaja mampu menjaga sempadan negara daripada dibolosi tetapi pada masa sama berpotensi mengurangkan risiko banjir di kawasan sempadan.
"Kami berharap kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti sempadan yang selama ini menghadapi ancaman banjir dan jenayah," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kampung sempadan baru-baru ini mendapati rata-rata penduduk sependapat dengan Jasmin dan Wan Faizal.
Mereka menyatakan limpahan air Sungai Golok kerap menjejaskan rumah, perniagaan dan jalan raya, menyebabkan aktiviti harian terganggu serta menimbulkan risiko keselamatan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan kemasukan pendatang tanpa izin.
Di sebelah Thailand, kerajaan negara itu telah membina benteng sempadan yang bukan sahaja memudahkan penguatkuasaan keselamatan malah menahan limpahan air yang kesannya menyebabkan peningkatan limpahan air ke arah Malaysia.
Pada 13 Okt lepas, Mohd Yusoff dilapor berkata pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang, di Pasir Mas kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan sekali gus mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan–Thailand.
Beliau berkata hal ini kerana bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan airnya cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional, meskipun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, dron atau kamera litar tertutup (CCTV).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial