Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Syarikat-syarikat pertengahan (MTC) diseru untuk melabur dalam modal insan selain tumpuan kepada mesin atau teknologi bagi mengukuhkan daya saing global mereka, kata Presiden Kehormat Konsortium Syarikat-Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) Callum Chen.
Banyak syarikat sanggup melabur berjuta-juta ringgit dalam peralatan dan sistem tetapi mengabaikan pembangunan bakat, yang penting untuk pertumbuhan yang mampan.
“Ada syarikat yang sanggup melabur dalam perkakasan, mesin, perisian, bahan tetapi mereka tidak melabur dalam modal insan dan ini menjadi isu besar dalam kebanyakkan MTC.
“Jika kita terus berpegang kepada set pemikiran seperti ini, kita tidak akan bergerak ke atas rantaian nilai kerana pada akhirnya, walaupun dengan semua perkakasan serta perisian, kemampuan modal insan yang akan memacu sesuatu peningkatan,” katanya kepada Bernama selepas prapelancaran acara Anugerah Eksport Kebangsaan (NEA) baru -baru ini.
MTC akan menghadapi cabaran jika pihak pengurusannya tidak yakin dalam prospek latihan atau pelaburan modal insan, ini seterusnya, akan menghalang kemajuan sesebuah syarikat.
Chen, yang juga Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LH Plus Sdn Bhd berkata MTC harus melihat lebih jauh daripada kolam bakat teratas dan memberi tumpuan untuk memupuk 90 peratus graduan yang mempunyai potensi tetapi tidak terdedah.
“Syarikat-syarikat multinasional telah mengambil sepuluh peratus daripada graduan baharu. Selebihnya (graduan) masih mempunyai potensi dan ini adalah peluang yang mana MTC boleh mencipta perbezaan dengan membangunkan mereka melalui latihan,” katanya.
Kebanyakkan MTC telah mengalami krisis ekonomi dan belajar menyesuaikan diri dengan cepat, terutama yang terlibat dalam eksport.
Katanya, bagaimanapun, mereka kini wajar menyelaraskan operasi mereka dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk terus berdaya saing.
“Apabila kita mengeksport, kita akan bersaing secara global. Kualiti, perkhidmatan, penghantaran serta daya saing adalah jangkaan yang asas dan hari ini, ESG merupakan langkah penting seterusnya.
“Anda perlu proaktif, tidak reaktif dan tidak sepatutnya menunggu sehingga pelanggan menuntut pematuhan ESG,” katanya.
Chen ketika bercakap mengenai NEA berkata pengiktirafan sedemikian memberikan penanda aras penting bagi pengeksport tempatan, terutamanya MTC, untuk menilai kehadiran global mereka.
“Anda tidak akan pernah tahu betapa baik atau buruknya anda melainkan jika anda membuat pengukuran. NEA membolehkan anda melihat di mana kedudukan anda jika dibandingkan dengan pesaing di negara lain,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai acara anugerah tersebut, CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (MATRADE) Datuk Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata NEA mengiktiraf kecemerlangan perusahaan Malaysia dalam pelbagai kategori.
“NEA adalah pernyataan muktamad kita mengenai merit perusahaan Malaysia, mengiktiraf kecemerlangan PKS yang baru muncul sehingga kepada korporat gergasi.
“Pemenang-pemenang ini telah mentakrifkan semula perdagangan global melalui inovasi dan komitmen yang kuat terhadap kemampanan,” katanya.
Beliau berkata MATRADE akan terus bertindak sebagai pemangkin utama, menyediakan hala tuju yang disesuaikan, kepakaran pendigitalan serta platform rangkaian global untuk memastikan setiap pengeksport Malaysia, terutamanya MTC, berjaya sebagai jaguh global.
NEA, yang akan dilancarkan pada 5 Dis ini akan menampilkan tujuh kategori pengeksport terbaik seperti Pengeksport Terbaik - Syarikat Besar, Pengeksport Terbaik - Syarikat Multinasional dan Pengeksport Terbaik - Syarikat Pertengahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial