WILAYAH - UTARA > BERITA

GUNA LOGO HALAL TANPA KEBENARAN, KPDN KEDAH KILANG PROSES MAKANAN

20/10/2025 02:47 PM

SUNGAI PETANI, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu kilang sebuah syarikat memproses makanan di sini yang dikesan menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa pada produk keluaran mereka.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dijalankan ke atas kilang pembuatan mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe di Bedong dan stor simpanan di Jalan Angsana, pada 11 pagi semalam.

Beliau berkata operasi bersepadu KPDN Kedah bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah itu, merangkumi pemeriksaan perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal, serta penguatkuasaan di bawah akta KPDN.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  ke atas produk dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kilang berkenaan memproses produk makanan terbabit dalam pelbagai saiz dan dipercayai diedarkan ke pasaran di seluruh negara.

Muhammad Nizam berkata sitaan turut dibuat terhadap produk berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM87,057.

“Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan