SAN JOSE, California, 22 Okt (Bernama-dpa) -- Pembangun ChatGPT, OpenAI pada Selasa memperkenalkan pelayar web baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan "Atlas", sebagai cabaran kepada gergasi teknologi Google dan Apple, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut OpenAI, Atlas pada peringkat awal hanya akan tersedia untuk komputer Mac keluaran Apple.
Ia direka bagi membantu pengguna melaksanakan tugasan “tanpa perlu menyalin, menampal atau meninggalkan halaman yang sedang dibuka.”
OpenAI menjelaskan bahawa Atlas akan mengintegrasikan chatbot ChatGPT terus ke dalam pengalaman pelayaran web, membolehkan pengguna mendapatkan ringkasan kandungan sesuatu laman atau membandingkan artikel semasa membuat pembelian dalam talian.
“Memori ChatGPT terbina dalam pelayar ini, membolehkan perbualan baharu menggunakan maklumat daripada perbualan terdahulu bagi membantu pengguna menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat,” menurut syarikat itu.
Bagaimanapun, fungsi yang membolehkan ChatGPT melaksanakan tugasan secara automatik bagi pihak pengguna — seperti menempah perjalanan — hanya ditawarkan kepada pelanggan berbayar OpenAI.
Ketika ini, Google menyediakan pelayar web paling banyak digunakan di dunia menerusi Chrome, manakala perisian pesaingnya, Safari keluaran Apple, turut kekal kukuh terutama dalam kalangan pengguna iPhone.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa syarikat AI lain turut melancarkan pelayar web masing-masing.
ChatGPT, yang dilancarkan kira-kira tiga tahun lalu, mencetuskan gelombang kebangkitan teknologi AI dan kini mencatat sekitar 800 juta pengguna mingguan.
Namun, persoalan mengenai tahap keuntungan sektor AI masih menjadi tanda tanya.
OpenAI dan syarikat teknologi besar lain termasuk Meta, syarikat induk Facebook, kini melabur ratusan bilion dolar dalam pembinaan pusat data, namun masih belum jelas sama ada pelaburan itu akan memberikan pulangan yang berbaloi.
Syarikat-syarikat berkenaan sedang mencari cara terbaik untuk menjana keuntungan melalui teknologi AI.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial