NIBONG TEBAL, 22 Okt (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif melakukan pecah rumah di Seberang Perai selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita di sini Khamis lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata tangkapan berkenaan susulan laporan oleh pengawal keselamatan sebuah perumahan di Bukit Tambun, di sini setelah melihat dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 3 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Dua lelaki itu telah memasuki beberapa buah rumah di perumahan berkenaan dan ekoran itu, pengawal keselamatan itu bertindak segera ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.
"Susulan itu, anggota dari Balai Polis Bukit Tambun bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki di lorong 15 di kawasan perumahan itu dan hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan empat lagi suspek," katanya dalam kenyataan malam ini.
Azizee berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 47 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan Seberang Perai sejak pertengahan tahun ini.
Beliau berkata susulan penahan itu, polis merampas sebuah Toyota Avanza dan Honda Civic Efi, tiga motosikal, lima telefon bimbit serta pelbagai peralatan pecah rumah dan pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes pecah rumah di Seberang Perai membabitkan kerugian lebih RM100,000.
"Modus operandi geng itu adalah menyasarkan rumah mewah dan berpagar keselamatan dengan bergerak secara berjalan kaki dan menggunakan alat pahat kecil untuk mengumpil pintu utama.
"Mereka turut memakai sarung tangan dan topeng muka ketika melakukan pecah rumah bagi mengelak dikesan," katanya dan memaklumkan kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial