WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGONG BERKENAN SEMPURNAKAN ISTIADAT PERTUKARAN PANJI-PANJI AGONG 2025

23/10/2025 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Istiadat yang berlangsung penuh adat ketenteraan itu merupakan yang julung kali diadakan sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Upacara berkenaan turut mencerminkan ATM sebagai institusi yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Istiadat dimulakan dengan Sultan Ibrahim menerima Tabik Hormat Diraja dan disusuli pemeriksa perbarisan tiga perkhidmatan utama ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melibatkan empat detasmen dengan kekuatan keseluruhan 34 pegawai dan 430 anggota lain-lain pangkat.

Upacara diteruskan dengan perarakan keluar Panji-Panji lama, diikuti pentauliahan serta penganugerahan Panji-Panji baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, dan disusuli lafaz ikrar kesetiaan oleh RAMD, KAD dan TUDM.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Penglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Sementara itu, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, istiadat penuh adat ketenteraan itu dilaksanakan bagi menggantikan Panji-Panji lama yang telah lusuh, selain menjadi simbol penghormatan tertinggi terhadap kesetiaan dan semangat juang warga ATM kepada Raja dan Negara.

“Panji-Panji merupakan lambang kehormatan, identiti pasukan serta semangat juang yang diwarisi oleh setiap warga ATM. Ia disanjung tinggi dan diurus dengan penuh tatacara penghormatan,” menurut kenyataan itu.

Markas ATM memaklumkan bahawa istiadat berkenaan menjadi manifestasi penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Ia menegaskan bahawa taat setia kepada Raja dan Negara merupakan asas kekuatan ATM, selaras dengan semangat yang dizahirkan melalui slogan ‘Duty, Honour, Sacrifice’,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan