KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia menyeru pendekatan lebih bersatu dan berintegrasi merentasi tonggak politik-keselamatan dan ekonomi ASEAN untuk memastikan blok serantau itu kekal berdaya tahan, relevan dan berdaya saing dalam ketidaktentuan global.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Ketua Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) Malaysia Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata penyelarasan lebih erat antara sektor teras ASEAN adalah penting untuk menangani cabaran rentas sempadan dan mengukuhkan koheren dasar menjelang Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN, Sabtu ini.
“Malaysia tetap teguh dengan kepercayaan kami bahawa memupuk kerjasama lebih mendalam antara keselamatan politik dan landasan ekonomi akan meningkatkan keupayaan ASEAN untuk mengemudi isu-isu kompleks daripada keamanan dan kestabilan serantau kepada kemudahan perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Bersama SOM-Mesyuarat Pegawai Ekonomi Kanan (SEOM) ASEAN yang diadakan hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
Mempengerusikan mesyuarat itu bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa, Amran berkata perbincangan itu bertujuan menyelaraskan keutamaan strategik ASEAN dan memastikan dasar serantau kekal saling mengukuhkan, merentasi tonggak keselamatan ekonomi dan politik.
“Objektif kami hari ini adalah untuk menetapkan asas bagi menteri kami memajukan dasar yang bukan sahaja melindungi kestabilan serantau tetapi juga memacu pertumbuhan mampan dan kemakmuran untuk semua negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau berkata landskap global semakin rumit dan berlaku pelbagai perubahan yang tidak pernah wujud sebelum ini, dan ketegangan geopolitik, pemecahan ekonomi serta kepesatan teknologi mencorakkan semula kerjasama antarabangsa.
“Aturan yang (selama ini) membentuk hubungan dan perdagangan antarabangsa kini meretak dan lusuh. Ketegangan geopolitik, pemecahan ekonomi dan kemajuan teknologi yang pesat membentuk semula cara negara berhubung dan bekerjasama," katanya.
Amran juga memuji Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) atas usaha mereka dalam merangka strategi untuk membolehkan ASEAN bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap dinamik ekonomi global.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini di bawah Kepemimpinan ASEAN 2025 Malaysia yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
Sidang kemuncak tahun ini, antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN, akan menjadi platform utama untuk meningkatkan kerjasama serantau, mengukuhkan daya tahan kolektif dan menangani cabaran bersama dengan cara yang padu dan inklusif.
Malaysia mempengerusikan ASEAN buat kali kelima sejak penubuhan blok itu pada 1967, berikutan jawatan pengerusi sebelum ini pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial