WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JSJN SARAWAK RAMPAS SYABU BERNILAI LEBIH RM117,000, LELAKI TEMPATAN DITAHAN

25/10/2025 12:36 AM

SIBU, 24 Okt (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak merampas dadah jenis syabu seberat 3,094.69 gram (g) bernilai RM117,598.22 dalam dua serbuan berasingan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Lorong Rejang Park, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun serta merampas 2,055.85g syabu.

“Berdasarkan maklumat hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Jalan Maju dan merampas 1,038.84g syabu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zulkipli berkata jumlah keseluruhan rampasan 3,094.69g syabu itu dianggarkan bernilai RM117,598.22 dan boleh digunakan oleh 15,474 penagih.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu satu di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka, satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai penghantar dan penjaga stor bagi satu sindiket pengedaran dadah di Sibu yang aktif sejak April tahun ini.

Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini ditahan reman enam hari bermula 23 Okt bagi membantu siasatan lanjut.

“JSJN juga giat memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas bagi memastikan kegiatan ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama strategik antara JSJN PDRM Sarawak dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, dalam usaha bersepadu membanteras ancaman dadah.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN Bukit Aman (012-208 7222) atau Hotline JSJN Sarawak (017-592 9211).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan