WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANGGOTA PENGIRING DELEGASI ASEAN CEDERA KEMALANGAN DI LEBUHRAYA ELITE

25/10/2025 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengalami kecederaan, selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil arah Utara, Lebuhraya Elite di sini, tengah hari tadi.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kemalangan pada 1 tengah hari itu, membabitkan seorang anggota berpangkat koperal berusia 35 tahun, yang sedang menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Beliau berkata anggota berkenaan dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ketika berada di susur keluar kawasan berkenaan, semasa melaksanakan tugas mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Akibat kemalangan, anggota berkenaan patah betis kiri, cedera pergelangan kaki kiri serta lutut kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Cyberjaya,” katanya ketika dihubungi selepas tular di media sosial rakaman video kejadian itu.

Beliau berkata berkata punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap arahan pergerakan pasukan konvoi, sepanjang tempoh berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan