GOPENG, 26 Okt (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin rebung liar mempunyai potensi untuk diperluas ke pasaran seluruh negara selepas projek rintis yang dijalankan di daerah Muallim sejak November tahun lepas mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.
Pengerui FAMA Aminuddin Zulkipli berkata dalam tempoh setahun projek itu dilaksanakan, sebanyak 15,583 kilogram (kg) rebung berjaya dipasarkan dengan nilai jualan RM46,749 sekali gus membuktikan hasil hutan itu berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
“Kita bekerjasama dengan penduduk kampung Melayu tradisi serta Orang Asli untuk mendapatkan bekalan rebung liar. FAMA pula berperanan dalam proses pembungkusan dan pemasaran untuk diletakkan di outlet FAMA sekitar daerah Muallim dan Batang Padang.
“Alhamdulillah, sambutan projek ini amat menggalakkan dan kita boleh perluaskan pasaran rebung ini ke seluruh negara,” katanya ditemui Bernama selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Kerjasama FAMA Bersama Rakan Strategik di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini semalam.
Aminuddin berkata permintaan menggalakkan terhadap produk itu membuktikan ia mampu dikembangkan tanpa memerlukan kawasan ladang khas kerana bekalannya boleh diperoleh terus dari hutan.
Beliau berkata kelebihan itu juga memberi peluang kepada penduduk kampung dan komuniti Orang Asli menjana sumber pendapatan baharu yang tidak memerlukan modal besar.
“Kejayaan projek di Muallim menjadi model kepada FAMA untuk memperluaskan pemasaran rebung selain mewujudkan kluster pengeluaran di negeri lain menjelang awal tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial