WILAYAH - SELATAN > BERITA

MELAKA PENUTUP SIRI EKSPLORASI PERPADUAN SATELIT MADANI RAKYAT 2025

26/10/2025 07:15 PM

JASIN, 26 Okt (Bernama) -- Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI Rakyat 2025 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menutup tirai siri jelajahnya di Melaka hari ini, menzahirkan iltizam kerajaan memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) JPNIN Mohd Faris Jazlan Ramli berkata Melaka merupakan lokasi terakhir bagi pelaksanaan program satelit anjuran jabatan itu selepas Sabah, Johor, Perak, Terengganu, Kota Bharu serta Gua Musang di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

“Kesemua lokasi dipilih secara teliti dengan mengambil kira keperluan setempat serta potensi impak maksimum terhadap pengukuhan jaringan sosial dan perpaduan komuniti di seluruh negara.

 “Program ini menzahirkan pendekatan JPNIN untuk meluaskan capaian perkhidmatan serta manfaat secara langsung kepada masyarakat majmuk di Malaysia, selaras slogan Kementerian Perpaduan Negara iaitu Harmoni dalam Kepelbagaian,” katanya. 

Mohd Faris Jazlan berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian program itu di Bemban di sini, yang dihadiri Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff.

Beliau berkata program Satelit MADANI Rakyat merupakan inisiatif kerajaan yang dilaksanakan empat agensi utama iaitu JPNIN, Jabatan Penerangan (JAPEN), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF) bagi menyampaikan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Sempena Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI Rakyat 2025, antara pengisian di Melaka ialah aktiviti gotong-royong serentak di beberapa kawasan sekitar pekan Bemban bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Program turut melibatkan Dialog Awam Keselamatan dan Perpaduan Negara peringkat Melaka dan pelbagai aktiviti berimpak rakyat termasuk khidmat komuniti, Jualan MADANI, pemeriksaan kesihatan, Jejak Harmoni serta pameran dan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan