WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA GESA ASEAN MANFAAT RCEP PERKUKUH PERDAGANGAN INDO-PASIFIK

27/10/2025 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Indonesia menggesa ASEAN memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai platform untuk memperkukuh daya tahan dan mempromosikan perdagangan berasaskan peraturan di seluruh rantau Indo-Pasifik.

Dalam ucapan khas pada Forum ASEAN-Indo-Pasifik (AIPF) 2025 di sini hari ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata integrasi dan kerjasama serantau amat penting bagi menjamin kemakmuran dan kestabilan jangka panjang.

“Kita mesti memperhebat kerjasama dan usaha bersama untuk memperkukuh integrasi serantau dengan memanfaatkan RCEP sebagai platform bagi daya tahan dan perdagangan berasaskan peraturan. Perkongsian ini juga perlu terbuka kepada negara lain yang ingin menyertai RCEP,” katanya.

Ucapan khas Presiden Indonesia itu disampaikan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.

Pada masa yang sama, Prabowo berkata ASEAN juga perlu mempercepat peralihan ke arah tenaga hijau dan mampan melalui inisiatif bersama seperti Kerangka Karbon Bersama ASEAN dan Grid Tenaga ASEAN.

Beliau berkata rantau Indo-Pasifik yang menempatkan 60 peratus daripada populasi dunia dan menjana 60 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, memacu dua pertiga pertumbuhan ekonomi dunia serta merangkumi separuh daripada perdagangan dan pengangkutan maritim global.

Menggambarkan rantau itu sebagai enjin pertumbuhan global, beliau berkata menjelang 2030, Indo-Pasifik akan menjadi tempat tinggal bagi dua pertiga daripada golongan kelas menengah dunia, sambil menegaskan bahawa tiada negara atau komuniti harus ketinggalan dalam arus kemajuan ini.

“Untuk benar-benar memanfaatkan momentum ini, pertumbuhan kita mesti inklusif. Ini bermaksud memastikan peluang yang saksama untuk semua dan memberikan setiap anak akses kepada pendidikan berkualiti tinggi agar generasi akan datang bersedia menghadapi persaingan dan keterhubungan di Indo-Pasifik,” katanya.

Prabowo turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam memacu kemakmuran bersama.

“Keamanan dan kemakmuran hanya dapat dicapai apabila kerajaan dan perniagaan bergerak seiring. Sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan, inovasi dan kemajuan sosial. Perniagaan bukan sekadar menjana keuntungan, tetapi juga mewujudkan peluang dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Susulan itu, Prabowo mengulangi komitmen Indonesia untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN bagi menukar cabaran menjadi peluang di Indo-Pasifik.

“Melalui forum ini, kami komited untuk bekerjasama dalam menukar cabaran kepada peluang di Indo-Pasifik bagi memastikan pertumbuhan memberi manfaat kepada semua rakyat kita. Saya juga mengajak anda semua menjadi kolaborator sejati bagi keamanan dan kemakmuran,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan