WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYARIKAT PERLOMBONGAN KUARI DIDENDA RM40,000 MILIKI DIESEL TANPA LESEN

27/10/2025 01:04 PM

IPOH, 27 Okt (Bernama) -- Sebuah syarikat perlombongan kuari didenda RM40,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 10,129 liter diesel tanpa lesen sah, dua tahun lepas.

GCCP Marble Sdn Bhd yang diwakili seorang pengarah syarikat Loo Wooi Hong, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati telah melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki 10,129 liter diesel iaitu barang kawalan berjadual sebagaimana dinyatakan dalam Ruang 1 Bahagian IV Jadual yang digunakan dalam perjalanan perniagaan GCCP Marble Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis GCCP Marble Sdn Bhd, Plot 5, Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh di dalam daerah Kinta pada 6.30 petang 15 Ogos 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961, memperuntukkan denda maksimum RM2 juta dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang denda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) N Shamani yang memohon hukuman denda RM40,000 serta hasil jualan sebanyak RM23,803.15 dilucutkan hak kepada kerajaan.

Sementara itu, syarikat berkenaan yang diwakili Tetuan Wong dan Ang memohon hukuman denda sama kerana itu merupakan kesalahan pertama dan lesen syarikat juga telah diperbaharu serta minyak diesel itu bukan bersubsidi untuk kegunaan sendiri.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM40,000 dan hasil jualan bernilai RM23,803.15 dilucutkan hak kepada kerajaan di bawah pengurusan KPDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan