WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM20 BILION BANTU GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH, MISKIN TEGAR TURUN 0.09 PERATUS - PM ANWAR

30/10/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah menyalurkan hampir RM20 bilion bagi melaksanakan pelbagai program bantuan untuk golongan berpendapatan rendah tahun ini, sekali gus membantu menurunkan kadar kemiskinan tegar negara kepada hanya 0.09 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain sokongan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Daripada senarai yang dimasukkan, baki 0.09 peratus itu adalah kategori kemiskinan tegar. Itu angka awal tahun dan kini semua kes dalam senarai berkenaan telah diselesaikan, bukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja tetapi juga dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Berdasarkan data e-Kasih, bilangan isi rumah miskin tegar telah berkurangan dan kita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.

Anwar berkata usaha menghapuskan kemiskinan tegar turut melibatkan kerjasama rapat kerajaan negeri termasuk di Kelantan dan Kedah, khususnya bagi menambah baik proses pengesanan serta penyelarasan bantuan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700, serta pelarasan gaji 25 hingga 30 peratus bagi penjawat awam berpendapatan rendah, turut bertujuan mengurangkan kemiskinan relatif dan menangani jurang pendapatan.

“Penjawat awam dalam kategori rendah ini tergolong dalam kumpulan miskin, bukan miskin tegar, tetapi masih miskin. Jadi apabila kita naikkan gaji mereka antara 25 hingga 30 peratus, khususnya bagi kumpulan terbawah, ia membantu mengurangkan kesenjangan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya harap ada ruang lagi untuk peningkatan sebaik sahaja keadaan ekonomi lebih meyakinkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai pelaksanaan bantuan SARA RM100 dan akses penerima luar bandar untuk berbelanja di kedai kecil, Anwar berkata lebih 80 peratus penerima telah menebus bantuan itu setakat ini, dengan lebih 2,000 kedai kecil luar bandar kini menerima transaksi di bawah program berkenaan.

Beliau berkata peningkatan itu membuktikan pelaksanaan program tersebut membantu memudahkan urusan rakyat sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat, berbanding hanya kira-kira 180 kedai ketika inisiatif itu mula diperkenalkan.

Menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai usaha mengurangkan kemiskinan di Sabah dan Sarawak, Anwar berkata kerajaan memberi keutamaan kepada negeri berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA yang mencatat agihan tertinggi antaranya di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan agihan bantuan di kawasan rumah panjang memerlukan penyesuaian mengikut struktur komuniti setempat bagi memastikan penerima mendapat manfaat secara berkesan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai indikator baharu pengukuran kemiskinan dan penggunaan data Pangkalan Data Utama (PADU), Anwar berkata kerajaan sedang menyelaras pangkalan data MyKad dengan rekod peruntukan agensi kerajaan Persekutuan, negeri, zakat dan bantuan lain bagi mengelakkan pertindihan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak.

“Selain bantuan tunai, kita tingkatkan program seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN supaya keluarga dapat jana pendapatan stabil dan tidak kembali kepada kemiskinan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan