WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MYCC KENAKAN PENALTI RM97.3 JUTA TERHADAP 26 SYARIKAT TERLIBAT KARTEL TIPUAN BIDA

30/10/2025 02:17 PM

PETALING JAYA, 30 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan berjumlah RM97.3 juta terhadap 26 syarikat yang didapati terlibat dalam kes kartel tipuan bida melibatkan nilai tender keseluruhan RM540.72 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ketika ini terdapat 14 kes tipuan bida melibatkan 563 syarikat yang sedang disiasat oleh MyCC berkaitan tender-tender bernilai RM2.7 billion.

“Ini rekod MyCC, apabila membuat penguatkuasaan, kita menemukan banyak kes. Kita mohon peruntukan daripada kerajaan dan Alhamdulillah diluluskan dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peruntukan itu bukan hanya diberikan kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), malah sebahagiannya turut diberikan kepada MyCC bagi melonjakkan penguatkuasaan, kapasiti penting dalam mengekang tipuan bida,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Persaingan MyCC 2025 bertemakan “Strengthening Competition Through the ‘G’ in ESG for a Sustainable Future” di sini hari ini.

Persidangan itu turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia), sebagai kerjasama dalam aspek pertukaran maklumat, advokasi, program latihan, penyelidikan serta perkongsian pengalaman dan amalan terbaik.

Armizan berkata MyCC diharap mengorak langkah dengan melakukan penguatkuasaan terhadap tipuan bida dalam sektor swasta pada tahun depan kerana sektor itu juga menawarkan perkhidmatan barangan kepada rakyat.

“Setakat ini, fokusnya adalah terhadap tender-tender dalam perolehan kerajaan, tetapi pada 2026 kita juga perlu rintis dengan melihat kepada tender-tender dalam sektor swasta.

“Kalau tidak mengekang tipuan bida yang berlaku dalam sektor swasta, ia akan mendatangkan kesan kepada rakyat serta memberi kesan kepada ekosistem persaingan yang sihat di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata kementeriannya membantu penyelarasan MyCC untuk proses menandatangani Surat Persefahaman (LoU) dengan 16 kementerian untuk membanteras kartel tipuan bida.

“Kerjasama antara MyCC dan kementerian-kementerian ini adalah untuk membanteras kartel tipuan bida seterusnya memastikan proses persaingan dalam perolehan kontrak kerajaan berlaku secara telus dan adil,” katanya.

Mengenai persidangan hari ini, Armizan berkata panel jemputan terdiri daripada sembilan wakil pihak berkuasa persaingan antarabangsa berprofil tinggi antaranya Pihak Berkuasa Persaingan Turkiye (TCA), Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC), Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Selain itu, beliau berkata barisan panel pakar tempatan dibarisi wakil daripada Kementerian Kewangan, Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

“Terdapat dua fokus utama yang dibincangkan iaitu berkenaan tipuan bida dan menambah baik tadbir urus dalam transaksi percantuman menerusi rejim kawalan percantuman.

“Kedua-dua isu ini boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan pasaran yang sihat, mampan serta  progresif, sekali gus memberi kesan kepada kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan