WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CHINA LANCARKAN KAPAL ANGKASA LEPAS BERMANUSIA, SHENZHOU-21, ESOK

30/10/2025 04:30 PM

JIUQUAN 30 Okt (Bernama-CMG) -- Markas Misi Penerbangan Kapal Angkasa Bermanusia Shenzhou-21 memutuskan  akan melancarkan kapal angkasa bermanusia Shenzhou-21 pada pukul 23:44, 31 Oktober waktu Beijing.

Menurut seorang jurucakap pada sidang akhbar di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pagi tadi, semua kerja persiapan untuk misi itu  berjalan lancar pada masa ini, dan bahan api akan diisi dalam roket pembawa Long March 2F Yao-21 yang sudah ditugaskan untuk pelancaran kali ini.

Kru penerbangan Shenzhou-21 terdiri daripada juruterbang angkasa lepas Zhang Lu yang juga bertugas sebagai komander, jurutera penerbangan Wu Fei, dan pakar muatan Zhang Hongzhang.

Zhang Lu sebelum ini pernah menjalankan misi penerbangan bermanusia Shenzhou-15, sementara Wu Fei dan Zhang Hongzhang yang terpilih dari pasukan angkasawan China kumpulan ketiga mendapat mandat untuk melaksanakan misi penerbangan buat kali pertama.

Kru angkasawan Shenzhou-21 dijadualkan akan melaksanakan 27 projek sains dan aplikasi baharu semasa berada di orbit, misalnya menjalankan eksperimen saintifik ruang angkasa terhadap mamalia rodensia yang melibatkan empat tikus, iaitu dua betina dan dua jantan. Ini akan merupakan pertama kalinya bagi negara ini mengkaji kesan terhadap tingkah laku tikus dalam persekitaran nirberat dan tertutup.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan