WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM PAHANG SYOR PENAMBAHBAIKAN TATAKELOLA PDTCH DAN MDCH

30/10/2025 05:11 PM

 

CAMERON HIGHLANDS, 30 Okt (Bernama) – Unit Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah membentangkan beberapa penambahbaikan tatakelola kepada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) di sini, semalam.

 

Pembentangan kepada PDTCH bertujuan memperkukuh integriti dan kecekapan dalam Pengurusan Projek Pembersihan Cerun Bukit manakala MDCH adalah penguatkuasaan terhadap bangunan yang dibina tanpa kelulusan Kebenaran Merancang (KM).

 

Sebanyak empat cadangan penambahbaikan telah dikemukakan bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan PDTCH antaranya membuat kajian semula Akta Pemuliharaan Tanah 1960 dengan cadangan kadar denda lebih berat kepada pemilik tanah iaitu sekurang-kurangnya RM100,000 terhadap kawasan diceroboh oleh pekebun.

 

Cadangan lain ialah mengenakan denda maksimum kepada pemilik tanah yang memasuki tapak samada menjalankan aktiviti pertanian atau pembangunan bercampur serta memperkasakan pihak jabatan teknikal melalui agensi dan kementerian masing-masing untuk tujuan penguatkuasaan, pemantauan serta pendakwaan.

 

Selain itu, SPRM turut mencadangkan agar kuasa-kuasa penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 dan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara turut dilakukan oleh PDTCH.

 

Dalam sesi pembentangan yang dijalankan di pejabat MDCH itu, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Kamarul Iskandar Nordin menyambut baik dan bersetuju melaksanakan semua empat cadangan penambahbaikan itu. 

 

Beliau berkata, cadangan itu dilihat mampu membuat perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain dapat menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam pengurusan perolehan projek pada masa akan datang.

 

Sesi Laporan Penambahbaikan Tatakelola PDTCH telah ditandatangani antara Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud dan Kamarul Iskandar. 

 

Sementara itu, dalam sesi yang sama, sebanyak empat cadangan penambahbaikan telah dikemukakan kepada MDCH berkaitan Amalan, Sistem dan Tatacara berhubung proses permohonan Kebenaran Merancang (KM) di Cameron Highlands oleh Unit One Stop Center (OSC) MDCH. 

 

Antara cadangan itu termasuk mengadakan kursus pegawai penyiasat dan penyediaan kertas siasatan bagi menjalankan penguatkuasaan serta tindakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172).

 

Cadangan lain ialah pengisian pegawai daripada PLANMalaysia di MDCH untuk menjalankan penguatkuasaan di bawah Seksyen 72 Akta 133 dan mewujudkan jadual rondaan penguatkuasaan daripada sebarang cubaan mendirikan bangunan tanpa kelulusan KM serta memastikan Laporan Pemetaan Geologi Terain (LPGT) untuk kawasan 25 darjah ke atas sahaja.

 

Dalam pada itu, Yang Dipertua MDCH, Rudyfasla Mujid yang turut menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola MDCH berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu dan bersetuju melaksanakan semua empat cadangan penambahbaikan.

 

Sementara itu, Mohd Shukor berkata, penambahbaikan itu bukanlah untuk mencari salah mana-mana pihak tetapi ianya untuk kebaikan bersama semua pihak dalam memastikan infrastruktur serta persekitaran semulajadi Cameron Highlands dapat dipelihara.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan