KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah akan dilaksanakan berdasarkan tahap kritikal kerosakan yang dikenal pasti menerusi penilaian menyeluruh, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata penilaian itu penting bagi memastikan kos penyelenggaraan dapat dikurangkan dalam jangka masa panjang.
“KKR (Kementerian Kerja Raya) sentiasa komited memastikan jalan di Sabah diselenggara dengan sempurna mengikut peruntukan tahunan telah dikhususkan. Namun begitu, kementerian turut menyedari wujud keperluan kewangan dan teknikal yang mendesak di beberapa daerah di Sabah.
“Justeru, usaha sedang dijalankan bagi meneliti serta menyediakan peruntukan diperlukan supaya setiap projek penyelenggaraan yang sedang dan akan dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KKR di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad memaklumkan kerajaan sedang mengadaptasi teknologi turapan baharu yang mampu meningkatkan mutu serta ketahanan permukaan jalan bagi memastikan jangka hayat lebih panjang.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah juga akan mengenal pasti laluan utama yang memerlukan perhatian segera termasuk kerja penurapan jalan berlubang, pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko tinggi serta papan tanda keselamatan jalan raya.
Mengulas projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Su-ngai Kolok di Narathiwat, Thailand, Ahmad berkata projek itu kini pada peringkat penyediaan dokumen tender antara dua negara dan dijangka ditender pada Disember tahun ini.
Selain itu, beliau berkata projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) tanpa melibatkan peruntukan kewangan kerajaan.
Ahmad berkata projek itu akan dilaksanakan melalui bidaan bersaing Request For Proposal (RFP), dengan KKR telah mengemukakan dokumentasi Penyataan Keperluan Projek (SON) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) untuk diperhalusi sebagai penyediaan dokumen bidaan secara RFP kepada kerajaan.
“Buat masa ini fokus keutamaan kerajaan ialah menyiapkan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai mengikut jadual bagi menambah baik jaringan strategik perhubungan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat terutama di negeri Pantai Timur termasuk Kelantan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial