WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN PERLU BERSIAP SEDIA HADAPI ANCAMAN AKTOR BUKAN NEGARA

30/10/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN perlu kekal berwaspada dan bersatu dalam menangani risiko keselamatan baharu yang timbul daripada aktor bukan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata cabaran keselamatan serantau kini tidak lagi terhad kepada konflik tradisional seperti pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

“Kita meneliti dan menjangkakan semua isu, ancaman dan cabaran supaya negara-negara anggota ASEAN dapat bersatu dan bertindak secara kolektif,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di sini, hari ini.

Mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 berlangsung mulai hari ini hingga 2 Nov, dengan penyertaan lapan rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Mohamed Khaled berkata ancaman berpotensi kini boleh timbul daripada ruang siber atau bahkan daripada entiti swasta yang membangunkan teknologi yang boleh digunakan sebagai senjata.

“Ancaman kini mungkin datang daripada sebuah aktor bukan negara negara, mungkin sebuah syarikat yang membangunkan teknologi untuk menyerang mana-mana negara. Itu juga satu ancaman,” katanya.

Beliau berkata ASEAN perlu meneroka strategi bersama bagi menangani ancaman tidak konvensional seperti itu, yang boleh menyasarkan negara anggota melalui serangan siber atau gangguan teknologi.

“Ia bukan hanya mengenai Laut China Selatan, ancaman juga boleh datang dari ruang siber. Ini cabaran baharu dan ASEAN mesti bersedia.

“Kerjasama antara negara-negara ASEAN amat penting bagi memastikan rantau ini kekal stabil, berdaya tahan dan bersiap siaga menghadapi bentuk pencerobohan yang semakin berkembang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan