WILAYAH - SELATAN > BERITA

BUMBU BABAH PERLUAS OPERASI KE MELAKA DENGAN PEMBUKAAN OUTLET KE-33

02/11/2025 01:00 AM

MELAKA, 1 Nov (Bernama) -- Jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran francais makanan negara menerusi pembukaan cawangan ke-33 di Jalan Hang Tuah di sini, menjadikan Melaka sebagai lokasi strategik terbaharu bagi meluaskan rangkaian perniagaannya.

Outlet pertama di Melaka yang beroperasi sejak tiga bulan lepas, ditubuhkan melalui kerjasama strategik antara Analynsda Holdings Sdn Bhd dan Babah Ventures Sdn Bhd, pengendali utama rangkaian restoran Bumbu Babah di seluruh negara.

Pengasas bersama makanan autentik Minang itu yang juga selebriti, Ajak Shiro berkata pemilihan Melaka bukan sekadar untuk meluaskan pelaburan dan mengembangkan jenama, malah antara usaha untuk mengangkat warisan rasa Nusantara sebagai tarikan pelancongan kulinari baharu di negeri bersejarah itu.

“Melaka begitu dekat dengan saya. Banyak memori saya dengan negeri ini. Apabila saya mula berniaga, saya pastikan negeri ini adalah antara negeri yang mesti saya buka outlet kerana potensinya yang mampu menarik jumlah pelancong yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran outlet itu yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Ibrahim Durum di sini malam ini.

Menurut Ajak,  francais di Melaka itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta menyokong inisiatif kerajaan negeri untuk menambah produk pelancongan berasaskan gastronomi. 

"Kami ada merancang untuk membuka satu outlet lagi, mungkin di tepi pantai, dan perancangan ini bukan hanya memperluas operasi tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. 

"Setakat ini, cawangan ini dijangka menerima lebih 15,000 pengunjung pada bulan pertama operasi," katanya.  

Ajak berkata Bumbu Babah kini mengendalikan 34 outlet di seluruh negara  dengan semua hidangan disediakan melalui dapur pusat yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memastikan kualiti dan piawaian kebersihan terpelihara sepenuhnya.

"Menjelang akhir tahun ini, syarikat menyasarkan untuk mempunyai 42 cawangan yang beroperasi di seluruh negara termasuk di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

"Langkah ini sekali gus memperkukuh kedudukan Bumbu Babah sebagai antara pemain utama dalam industri francais restoran berkonsepkan kulinari Nusantara moden di Malaysia," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan