WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA TEKANKAN KEPERLUAN MANDAT ANTARABANGSA YANG JELAS BAGI KEAMANAN GAZA

04/11/2025 09:54 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menegaskan bahawa setiap langkah ke arah keamanan di Semenanjung Gaza perlu dilaksanakan dengan mandat dan kesahan antarabangsa yang kukuh.

Berucap pada mesyuarat peringkat menteri mengenai Palestin di Istanbul pada Isnin, beliau mengulangi sokongan Indonesia terhadap inisiatif perdamaian yang konkrit susulan persetujuan yang dicapai pada sidang kemuncak di Sharm El Sheikh pada 13 Okt.

“Indonesia bersedia memainkan peranan, termasuk dengan menghantar pasukan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memantau keadaan di lapangan, melindungi orang awam serta membantu proses pembinaan semula Gaza,” katanya.

Sugiono menekankan bahawa walaupun langkah praktikal ke arah perdamaian amat penting, ia mesti dilaksanakan di bawah mandat rasmi PBB atau mekanisme sah lain.

“Kejelasan mandat adalah penting untuk memastikan tindakan yang sah dan berkesan,” katanya menurut kenyataan kementerian itu.

Beliau turut menggesa agar wujud penyelarasan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memastikan inisiatif perdamaian sejajar dengan matlamat penyelesaian dua negara serta kepentingan jangka panjang rakyat Palestin.

Mesyuarat di Istanbul yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Türkiye Hakan Fidan itu turut disertai menteri luar dari Indonesia, Arab Saudi, Pakistan dan Jordan, serta menteri negara dari Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut kenyataan itu.

Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan pelan damai Gaza, pengukuhan langkah gencatan senjata serta sokongan terhadap usaha pembinaan semula wilayah itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan